SHAH ALAM: Seorang lagi wanita tampil membuat laporan polis Ahad lalu,
mendakwa dicabul oleh pendakwah selebriti yang kini sedang menjalani proses
reman.
Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata wanita berkenaan yang
merupakan seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur itu
mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah studio di Seksyen 7, dekat sini
pada Disember tahun lalu.
Mangsa yang berusia 26 tahun, membuat laporan tersebut di Balai Polis Dang
Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 4 petang dan kes tersebut kini dirujuk ke Ibu
Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.
“Dengan laporan terbaru ini, kami sudah ada sembilan kes semuanya melibatkan
rogol dan cabul. Tujuh kes kami buka siasatan manakala dua diklasifikasikan
Tiada Tindakan Lanjut (NFA). Majoriti kes melibatkan pendakwah ini dilakukan
di Shah Alam.
“Kami masih lagi menjalankan siasatan dan akan lihat dari semua sudut dengan
mengumpul maklumat berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis
Perasmian Balai Polis Sri Muda.
“Modus operandi suspek juga sama seperti sebelum ini iaitu mangsa akan diajak
keluar makan sebelum dibawa ke rumah suspek dengan alasan tertinggal barang.
Mangsa kemudian mendakwa dirinya dipeluk dari belakang.
“Difahamkan mangsa sudah berkawan dengan suspek sejak 2018 dan mereka juga
sering keluar bersama,” katanya.
Noor Azam berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, pendakwah berusia 25 tahun itu telah direman 10 hari di Mahkamah
Shah Alam berhubung dakwaan kes merogol kenalan laman sosial Instagramnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Polis tahan pendakwah muda rogol kenalan instagram
- Guru pula tampil dakwa dirogol pendakwah selebriti
- Enam laporan seksual berkaitan pendakwah selebriti
- 7 laporan, pendakwah selebriti direman 5 hari lagi
- Reman Da'i Syed dilanjut, 8 aduan jenayah seksual termasuk seks di luar tabii
- Da'i Syed berbaju lokap, direman 5 hari lagi berhubung dakwaan rogol
Join our Telegram Channel