Azhar Harun kekal speaker, mahkamah tolak saman Dr M



Azhar Azizan Harun kekal sebagai speaker Dewan Rakyat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Md Shahid hari ini yang membenarkan permohonan Azhar untuk membantah cabaran undang-undang oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap pelantikan itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan Azalina Othman Said untuk membantah cabaran undang-undang Dr Mahathir terhadap pelantikannya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.


Antara lain, hakim memutuskan hanya parlimen yang mempunyai kuasa tunggal untuk memutuskan isu pelantikan tersebut.

Selain Azhar dan Azalina, defendan lain yang membantah adalah Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.

Antara lain, tuntutan itu bertujuan mendapatkan kesahihan pelantikan Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker, tetapi tidak ditujukan kepada jawatan Rashid sebagai sebagai timbalan speaker.

Pada 23 Julai, lima plaintif - Ahli Parlimen Langkawi Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah, dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh - memfailkan saman pemula.


Kelima-lima plaintif menuntut pengisytiharan mahkamah bahawa pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Dewan Rakyat.

Mereka juga meminta pengisytiharan mahkamah bahawa berikutan kekosongan jawatan speaker yang sebelumnya disandang oleh Mohamad Ariff Md Yusof, semua anggota parlimen mesti diberi peluang untuk menamakan calon bagi jawatan tersebut.

Kelima-lima plaintif juga mahukan pengisytiharan bahawa jawatan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat masih kosong sejak 13 Julai. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram