Bersatu akhirnya setuju bentuk Kerajaan negeri bersama UMNO, PAS



KUALA LUMPUR: Kemelut politik di Perak diramal menemui penghujung apabila Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia terus bekerjasama dengan UMNO.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata kesediaan BERSATU itu membayangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan kekal di Perak walaupun Menteri Besarnya nanti mungkin daripada UMNO.

Bagaimanapun, beliau berharap, tiada sokongan bersyarat ditetapkan oleh BERSATU atau hanya mahukan calon tertentu daripada UMNO untuk dilantik mengisi jawatan berkenaan.


Ini kerana, katanya, ada dakwaan PN bersedia bekerjasama dengan UMNO asalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dilantik sebagai Menteri Besar Perak baharu.

"Jika keadaan sokongan bersyarat ini berlaku jadi kemelut politik di Perak berkemungkinan akan berpanjangan.

"Ini kerana, UMNO yang mempunyai kerusi paling banyak mempunyai mekanisma tersendiri dan tidak akan benarkan pihak luar menentukan calon Menteri Besar.

"Mungkin kemelut politik ini akan selesai menjelang esok kerana difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual masuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, esok," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.


Ahmad Zahid dilaporkan akan menghadap Sultan Nazrin di Istana Kinta, Ipoh pada jam 10 pagi esok.

Kemelut politik Perak bermula apabila Ahmad Faizal gagal meraih sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul undi percaya dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) pada sidang DUN, Jumaat lalu.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU dan Pengerusi BERSATU Perak hanya menerima 10 undi percaya berbanding 48 yang tidak menyokong beliau sebagai Menteri Besar, manakal seorang lagi ADUN berkecuali.

Daripada keseluruhan 59 kerusi di DUN Perak, UMNO mewakili 25 kerusi, diikuti DAP (16), BERSATU (5), AMANAH (5), PKR (3), PAS (3), GERAKAN (1) dan Bebas (1). – Bharian


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram