
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan semakin bergolak dengan pemimpin pembangkang
semakin lantang menggesa Anwar Ibrahim untuk berundur demi kebaikan gabungan
itu.
Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata Anwar gagal menunaikan janji
untuk menubuhkan kerajaan baharu, sekali gus menjejaskan kredibiliti PH.
Phoong yang juga ADUN Luyang berkata janji Anwar untuk memperolehi majoriti
kuat dan menyakinkan untuk menubuhkan kerajaan baharu tidak berhasil.
“Janji (Anwar) bahawa beliau mempunyai majoriti kuat dan menyakinkan tidak
menjadi manakala cubaan untuk menubuhkan kerjasama dengan UMNO juga disangsi
ramai pihak,” kata beliau.
Phoong berkata ramai pihak juga dukacita berikutan kegagalan Anwar memastikan
Dewan Rakyat menolak Belanjawan 2021 yang lemah dan tidak mampu membela
rakyat.
“Semua ini menghakis keyakinan rakyat terhadap PH. Ketua Pembangkang diejek
kerana tidak menunaikan janji,” tambah beliau.
“Jika kita ikhlas mahu membina Malaysia 2.0, kita mesti memperjuangkan politik
baharu sekarang,” kata beliau.
Phoong berkata kegagalan PH menyelesaikan kemelut kepimpinan akan menyebabkan
pembangkang kehilangan sokongan.
“Pemimpin baharu, dasar baharu, pemikiran baharu (diperlukan),” kata beliau.
Dalam pada itu, presiden UPKO dan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau
turut meminta Anwar menghentikan “politik nombornya”, merujuk kepada cubaan
Anwar memperolehi sokongan majoriti di Parlimen untu menumbangkan kerajaan
Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata PH harus menghentikan politik yang semata-mata memberi fokus
kepada menawan Putrajaya kerana akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang
dikendong berciciran.’
Pagi tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad
Sabu menggesa Anwar berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan
Perikatan Nasional “oportunis” yang memperalatkan mereka.
Dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama berkata, PH perlu menghadapi hakikat
pembangkang memerlukan anjakan politik baru, susulan kegagalan mereka
menghalang belanjawan persekutuan diluluskan.
Join our Telegram Channel