
PETALING JAYA: Naib Presiden PPBM, Mohd Rafiq Naizamohideen, bimbang kejatuhan
kerajaan Perikatan Nasional di Perak pimpinan partinya boleh berlaku di negeri
lain, contohnya Johor sekiranya PPBM menarik balik sokongan kepada menteri
besarnya daripada Umno.
Ketika ini, Dewan Negeri Johor mempunyai 16 kerusi BN, 13 PN, dan 27 Pakatan
Harapan.
“Kalau ini boleh berlaku di Perak, saya yakin perkara sama boleh berlaku di
negeri lain. Contohnya, di Johor, kalau PPBM menarik balik sokongan kepada
menteri besar, saya fikir senario sama boleh berlaku kerana kerajaan negeri
itu juga ada majoriti kecil,” katanya.
Pentadbiran Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden PPBM, tumbang
selepas beliau hilang sokongan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri,
apabila usul undi percaya dibentangkan untuk undian belah bahagi pagi tadi.
Sebanyak 48 ADUN tidak menyokong berbanding 10 yang menyokong dan 1 undi
rosak.
Pada Oktober, FMT melaporkan kerajaan Perak berdepan risiko susulan
ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin Umno terhadap rakan mereka, PPBM.
Rafiq kesal akan perkembangan di Perak ini, mengatakan semua ahli politik
tidak patut berbuat demikian semasa pandemik.
Beliau memberi amaran rakyat akan menghukum pihak yang mengutamakan
kepentingan politik daripada nyawa dan keselamatan negara pada pilihan raya
umum akan datang.
“Perdana menteri sudah kata pilihan raya akan diadakan selepas keadaan pulih.
Jadi sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan atau menjatuhkan kerajaan hanya
akan memberi kesan pada usaha dan tumpuan kerajaan dalam membantu rakyat.”
Sementara itu, seorang pemimpin pembangkang tidak menolak kemungkinan situasi
di Perak boleh berlaku di negeri lain dengan majoriti tipis.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kerajaan Bersatu Perak, Faizal Azumu tumbang lagi, MB tewas undi percaya
- Faizal akur kecundang, akan letak jawatan MB
- Faizal menghadap Sultan Perak janji tak akan bubar Dun
- Pas tidak mahu campur kerajaan baru Umno Perak
- Undi hanya untuk tolak MB, bukan tolak PN, Umno minta PAS, Bersatu kekal
- Khianat, gila kuasa, mungkin lepas ni Pas jadi mangsa Umno – Ahli MPT Bersatu
Join our Telegram Channel