PEGUAM Siti Zabedah Kasim meminta maaf kepada seorang pengguna Facebook
dengan akaun Hj Joe gara-gara tersilap berkongsi gambar lelaki tersebut yang
telah diedit di Facebooknya dua hari lalu.
Gambar yang telah diedit itu memaparkan Hj Joe sedang memegang sepanduk
tertulis ‘Kempen Basmi Janda’ dengan logo sorang lelaki dewasa sedang
memimpin tangan tiga orang kana-kanak bersama dua wanita dewasa.
Dalam hantaran asal yang telah dipadam namun sempat ditangkap layar itu,
Siti Kasim telah membuat kritikan.
“Bukan nak cakap apalah kann… aku ingat janda pon tak nak
muka-muka lahabau ni. Haha… dia orang ingat janda sekarang desperate
ke or janda aka kelas mata dia orang buta ker… hahaha.
“Bodow punya jantan-jantan Melayu… tak ada mende lain dia orang nak
pikir kan? Sengal,” kata Siti Kasim.
Bagaimanapun, perkongsian Siti Kasim itu segera mendapat perhatian dari Hj
Joe dan mahu menyaman peguam tersebut kerana berkongsi foto yang telah
diedit dan mendatangkan fitnah ke atas beliau.
“Ada tak sapa- sapa yang sanggup jadi lawyer saya untuk saman Siti Kasim ni.
Gambar edit ini digunakan untuk tujuan jahat dan fitnah ke atas saya,” kata
Hj Joe di Facebooknya.
Gambar asal lelaki itu sebenarnya memegang sepanduk berbunyi ‘Jangan zalimi
Felda’.
Siti Kasim yang menyedari kesilapan yang dibuatnya dua hari lalu telah
tampil membuat kenyataan maaf secara terbuka di Facebooknya hari ini.
“Saya dengan tulus ikhlas, meminta maaf kepada Hj Joe atas pengeposan yang
saya buat dua hari yang lalu berkenaan ‘Selamatkan Janda’.
“Apabila beliau memberitahu saya bahawa gambar tersebut telah diedit, saya
menurun gambar tersebut dengan serta-merta,” jelas Siti Kasim.
Menurut Siti Kasim beliau telah mengambil gambar itu dari ciapan seorang
pengguna di Twitter.
Jelas peguam itu dia mempercayai bahawa apa yang diciapkan oleh lelaki itu
adalah benar dan kemudian berkongsi di Facebooknya.
“Saya tidak ada keraguan untuk meminta maaf sekiranya saya melakukan
kesilapan.
“Seperti yang anda semua ketahui, saya sendiri menjadi mangsa dengan gambar
yang diedit dan dipanggil nama pelbagai jenis. Saya hanya manusia biasa dan
saya membuat kesilapan dengan tidak memeriksa kebenaran foto tersebut.
“Sekali lagi, saya memohon maaf kepada Hj Joe dengan kesilapan saya,” kata
Siti Kasim. – SM
Join our Telegram Channel