ALOR SETAR: Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata protes MIC terhadap
perobohan sebuah kuil yang dibina tanpa kelulusan menunjukkan seolah-olah
parti itu mahukan undang-undang diabaikan apabila menyentuh kepentingannya.
Selepas dikecam oleh pemimpin MIC sebagai angkuh, jahil dan tidak layak
menjadi MB, Sanusi menyelar parti komponen Barisan (BN) Nasional itu sebagai
parti yang terpaksa mengungkit isu-isu untuk terus relevan di persada politik.
“Selain jadi hero isu-isu kuil yg dibina di kawasan lapang dan pinggir jalan
yg tertakluk di bawah undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)..MIC ada isu
apa lagi untuk mereka kekal releven?,” kata Sanusi kepada FMT.
Justeru, beliau mempertahankan tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS)
merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, kerana ia
dibina tanpa kelulusan dan pihak kuil tidak mengendahkan notis yang
dikeluarkan.
“MIC patut tahu asas kepada kes penguatkuasaan MBAS iaitu kuil tersebut dibina
di kawasan lapang perumahan… 3-4 tahun kebelakangan ini sahaja. Bila ada
struktur bangunan dibina, ia menyalahi undang-undang dan notis telah
dikeluarkan oleh MBAS.
“Bila notis tidak diendahkan, akan diikuti dengan penguatkuasaan. MBAS buat
kerja dia ikut undang-undang yang diamanahkan kepada mereka,” kata beliau.
Sanusi berkata, dalam penguatkuasaan undang-undang, tidak timbul soal pilih
bulu dan MIC harus menerima hakikat itu.
“Adakah kita sebagai parti-parti politik mahu PBT mengabaikan sahaja
undang-undang apabila sesuatu penguatkuasaan terkena batang hidung kita.
“Atau (menjadi) parti politik segera muncul untuk menjadi hero kaum supaya
dilihat releven dan prihatin? Parti-parti politik patut mendidik orang ramai
mematuhi undang-undang,” kata beliau.
Sanusi berkata, isu berkenaan tidak patut dipolitikkan oleh sesiapa.
“Ini bukan isu politik atau agama, ini isu undang-undang bawah kuasa PBT.
Apakah MIC mahu struktur yang ada dan akan datang di kawasan PBT di seluruh
negeri dibina sesuka hati? Bukankah ada peraturan yang patut dipatuhi oleh
semua orang,” kata beliau.
Join our Telegram Channel