Seorang paderi gereja persatuan orang pekak akan didakwa dengan dua pertuduhan
di mahkamah minggu depan setelah dituduh mencabul pengikutnya antara tahun
2011 dan 2016.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, polis
telah menerima enam laporan polis mengenai perkara itu mulai 12 November tahun
ini, dan suspek telah ditahan pada 23 November.
"Mangsa lewat membuat laporan polis kerana sebelum ini suspek sering
mempengaruhi mangsa dengan mengatakan bahawa beliau merupakan seorang pemimpin
dan mereka perlu menuruti setiap arahan suspek," kata Huzir dalam kenyataan
media hari ini.
Jelas Huzir, suspek telah direman selama tujuh hari dari 24 hingga 30 Nov di
ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara, dan kemudian dikuarantin hingga
8 Disember kerana mempunyai kontak rapat dengan tahanan yang positif Covid-19.
Suspek kemudian ditangkap semula berhubung dengan laporan polis yang dibuat di
Kepala Batas, Pulau Pinang, dan kemudian direman selama empat hari berhubung
dua kes di negeri itu.
Dia kini direman enam hari dari 13 Disember hingga 18 Disember untuk siasatan
lanjut mengenai laporan polis yang dibuat di Petaling Jaya.
"Suspek akan menghadapi dua pertuduhan di mahkamah Butterworth, Pulau Pinang,
pada 21 Disember 2020," katanya.
Huzir berkata, paderi berusia 54 tahun itu adalah warga asing yang dijemput
oleh sebuah persatuan orang pekak untuk menjalankan kelas agama di gerejanya
sejak tahun 1998.
Lima mangsa adalah lelaki berumur antara 27 hingga 40 tahun, yang merupakan
anggota persatuan orang pekak dan bisu.
Kelas dan aktiviti gereja dilakukan secara berkala di Pulau Pinang dan
Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan paderi cabul lelaki OKU
Join our Telegram Channel