PKR Perak sedia kerjasama dengan Umno tubuh kerajaan baharu



IPOH: PKR Perak sudah mengadakan perjumpaan dengan UMNO negeri sebanyak dua kali bagi membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, kini terpulang kepada UMNO untuk menjalinkan kerjasama di peringkat negeri.

“Sekarang segala-galanya terpulang kepada UMNO, kami sudah membuka pintu (untuk kerjasama),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.


Farhash yakin tiada masalah untuk PKR dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan UMNO menubuhkan kerajaan negeri.

Menurutnya, dengan kerjasama itu, PKR dan PH akan turut bersama dalam kapasiti mentadbir kerajaan negeri.

“Walaupun lama bermusuhan, tiada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO. Politik hari ini dinamik, sentiasa berubah.


“Secara peribadi saya berpendapat lebih baik kami bersama UMNO daripada Bersatu, lebih baik bersama musuh lama (UMNO) daripada pengkhianat (Bersatu),” katanya.

Hari ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan PH termasuk DAP untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Ini berikutan keputusan Pas dan Bersatu yang tidak menyokong pembentukan kerajaan baharu di Perak selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal meraih sokongan majoriti daripada ahli DUN dalam usul undi percaya terhadap beliau kelmarin. – Utusan
Join our Telegram Channel
Telegram