CYBERJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi status di Facebook beliau hari
ini meluahkan rasa terharu atas keikhlasan seorang individu yang menghadiahkan
doa untuk bondanya, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.
Gambar seorang individu berdiri dan seorang lagi sedang duduk sambil menadah
tangan berdoa di luar pagar Masjid Negara itu mulanya dimuat naik di Facebook
Mahadi Mahbol sebelum dikongsikan semula di Facebook Najib.
“Dari sudut kejauhan ada yang menadah tangan merafakkan doa kepada Allah agar
Allahyarhamah Tun Rahah ditempatkan di dalam syurga,” tulis Mahadi di
Facebooknya.
Bekas Perdana Menteri ke-6 itu dalam reaksinya mengakui tersentuh hati dengan
keikhlasan individu itu dan berharap berpeluang berjumpa dengannya kelak.
“Amat menyentuh hati saya melihat ini. Saya tidak kenal saudara tetapi saya
berharap dapat bertemu satu hari nanti.
“Terima kasih atas doa untuk Allahyarhamah bonda. Semoga pakcik sentiasa di
bawah rahmat Allah SWT,” kata Najib.
Status Najib itu sehingga kini merekodkan 74,000 tanda suka dan lebih 2,100
komen netizen yang turut terharu dengan keikhlasan individu berkenaan
mendoakan kesejahteraan untuk Allahyarhamah Tun Rahah.
Sementara itu, semakan SuaraTV di ruangan komen status Facebook Najib itu
mendapati seorang netizen, Azman Hassan menjelaskan pakcik itu datang berjalan
kaki dari Kampung Baru ke Masjid Negara dan pernah bekerja di rumah
Allahyarhamah Tun Rahah.
“Saya jumpa dia tadi DS (Datuk Seri Najib).. Dia kata dia pernah kerja sebagai
tukang kebun di rumah Tun Rahah..
“Tun Rahah pernah biaya dia punya kos perubatan suatu ketika dulu. Dia nak
balas memang tak mampu dan sepanjang bacaan talkim, pakcik tadah tangan panjat
doa.. Sekarang kerja di kedai makan dekat Kampung Baru.
“Lama saya sembang dgn dia tadi..dia asal Ajil, Terengganu… Dia kata dia tak
layak utk masuk ke dalam masjid sebab dia tahu siapa dia..
“Sedih pulak dengar..bagus nya pakcik ni bila saya nak bagi sedikit wang dia
tolak denga baik. Dia cakap dia masih mampu .. Satu lagi, dia datang ke Masjid
Negara tadi dengan jalan kaki dari Kampung Baru,” katanya.
Dalam satu status terbaru sebentar, Najib turut meluahkan penghargaan kepada
semua rakyat Malaysia serta pemimpin yang menziarahi dan berdoa untuk
Allahyarhamah ibunya.
“Saya dan keluarga juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin
negara dan rakyat Malaysia sekalian atas ucapan takziah kepada kami dan doa
untuk Allahyarhamah bonda yang tercinta, sama ada melalui media sosial ataupun
di Istiadat Penghormatan dan Pengebumian Negara.
“Maafkan kami jika tidak dapat membalas setiap satu ucapan yang disampaikan.
Allahyarhamah bonda disayangi dan dihormati ramai. Al-Fatihah,” katanya.
Join our Telegram Channel