Selepas dikecam akhirnya Dr M, Mukhriz hadir beri penghormatan terakhir kepada ibu Najib



Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah antara yang hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah, ibu bekas perdana menteri keenam Najib Razak.

Tun Rahah yang meninggal dunia semalam pada usia 87 tahun, merupakan isteri kepada perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.

Mahathir dan Najib yang dikenali berseteru mengetepikan perbezaan politik di pengkebumian Allahyarhamah di Masjid Ar Rahah di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pagi ini.

Kedua-duanya dilihat sempat bertemu dan berbual sekejap.


Jenazah Tun Rahah yang tiba di masjid pada jam 7.50 pagi, dimandi dan dikapankan sebelum mereka yang berziarah dibenarkan memberikan penghormatan terakhir mereka pada jam sembilan pagi.

Mahathir tiba jam 9.05 pagi ditemani isteri, Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Mukhriz.

Bilangan penziarah dihadkan berdasarkan prosedur operasi standard Covid-19.

Seperti arwah suaminya Abdul Razak, Tun Rahah akan disemadikan di Makam Pahlawan di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Di zaman mudanya, Mahathir merupakan anak didik Abdul Razak.


Abdul Razak membawa Mahathir masuk semula ke dalam arena politik pada 1970-an selepas Mahathir disingkir daripada Umno kerana menentang perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.

Bekas pengerusi Bersatu itu sebelum ini berkata dia menyokong Najib sebagai perdana menteri atas rasa hormat ke atas Abdul Razak.

Bagaimanapaun, dia kemudiannya berganding bahu dengan pembangkang dalam PRU 2018 untuk menewaskan Najib, di tengah-tengah kemuncak kontroversi skandal 1MDB menyifatkan dana berbilion ringgit.

Abdul Razak berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1970 sehingga meninggal dunia pada 1976.

Najib menjadi perdana menteri keenam bermula 2009 hingga 2018, sehingga tewas dalam PRU14 yang menyaksikan BN tumbang buat pertama kali sejak diasaskan Abdul Razak pada 1973.

BN ialah lanjutan Parti Perikatan, yang merupakan gabungan pemerintah sejak kemerdekaan negara pada 1957.


Sementara itu, Bernama melaporkan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah turut memberi penghormatan terakhir pada Allahyarhamah.

Menurut Bernama, Sultan Nazrin berangkat tiba bersama-sama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada pukul 9.15 pagi.

Pemimpin DAP turut dilihat ke masjid bagi menziarahi jenazah.

Menurut laporan Utusan, mereka yang hadir adalah Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dan Adun Ketari Young Syefura Othman.

Syefura turut mengucapkan takziah kepada Najib dan menyifatkan Allahyarhamah sebagai wanita yang "kuat dan disegani". – Mkini


















Join our Telegram Channel
Telegram