Sudah sampai waktunya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya
Bersatu 'pulang ke gagang' Umno, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
"Demi mengelakkan penyatuan ummah menjadi retorik sebagaimana saranan
Muhyiddin, penulis berasakan sudah tiba masanya untuk perdana menteri bersama
seluruh saf kepimpinan dan ahli Bersatu untuk kembali ke pangkuan Umno,"
katanya pada penulisan kolum Sinar Harian, terbit hari ini.
Jelasnya, sebahagian besar pimpinan Bersatu berasal "daripada rahim yang sama
iaitu Umno."
"Hakikatnya, dasar, orientasi dan ideologi Bersatu adalah sama dan tiada
bezanya dengan Umno.
Tiba masa Muhyiddin, Bersatu pulang ke gagang Umno
"Sejarah membuktikan bahawa beberapa parti serpihan yang terpecah daripada
Umno kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu.
"Ia merujuk kepada matlamat asas penubuhan setiap parti-parti serpihan itu
seperti Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara, Parti Melayu Semangat 46
dan termasuklah parti Bersatu yang hanya bertujuan untuk menjatuhkan Umno,"
katanya lagi pada tulisan berjudul "Kembalilah ke pangkuan Umno" itu.
Ini bukan pertama kali, Asyraf mengajak pemimpin Bersatu kembali kepada Umno.
Sebelum ini, sudah beberapa kali Asyraf membuat pelawaan sama.
Minggu lalu, dia turut menggunakan pengibaratan serupa, bahawa Umno dan
Bersatu itu berasal dari rahim sama, tiada bezanya dari segi orientasi mahupun
ideologi.
Dia meminta ahli Bersatu dan Umno melebur ego masing-masing dan membenamkan
sejarah hitam lampau yang masih menghantui mereka bagi mengorak langkah
bersama.
Pada 23 Jan 2019, sewaktu Bersatu bersama PH menjadi kerajaan, ketua pemuda
Umno itu pernah membuat permintaan sama.
Ketika itu, Asyraf berkata memandangkan matlamat Bersatu hanya untuk
menumbangkan Umno pada PRU14 telah tercapai, maka wajar kepimpinan parti itu
kembali kepada Umno.
"Najib (Razak) tidak ada lagi dalam kepimpinan (Umno) sekarang, adakah
perjuangan Bersatu masih relevan sedangkan dalam wawancara dengan Oxford Union
baru-baru, mereka telah memaklumkan matlamat sebenar parti itu.
"Justeru, saya rasa mereka (Bersatu) boleh tutup parti sebab matlamat tercapai
dan kembali ke pangkal jalan dengan menyertai Umno," katanya.
Tiba masa Muhyiddin, Bersatu pulang ke gagang Umno
'Tak pernah masuk, macam mana nak balik?
Bagaimanapun, pelawaan Asyraf itu nampaknya ditepis Bersatu, antaranya oleh
Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam yang
menyifatkan hal itu tidak timbul dalam kalangan ahli Armada.
“[...] Keanggotaan ahli Armada kami tak pernah jadi ahli Umno pun dulu, saya
tak pernah masuk Umno pun. Jadi macam mana kami nak balik kepada Umno?
“Armada ataupun Bersatu adalah parti pertama pilihan anak muda yang ada dalam
Armada ketika ini [...],” katanya semalam.
Untuk rekod Bersatu ditubuhkan menjelang PRU lalu oleh beberapa bekas pemimpin
kanan Umno.
Bersatu bersama PH berjaya menumbangkan Umno setelah mendapat mandat untuk
menjadi kerajaan pada 2018, dan selepas itu, terdapat lagi ahli-ahli Umno yang
melompat parti menyertai Bersatu.
Bagaimanapun susulan Langkah Sheraton hujung Feb lalu, Bersatu dibawa keluar
oleh Muhyiddin daripada PH menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan baru
bersama Umno bersama parti-parti lain,
Join our Telegram Channel