Tajuddin sahkan ada lagi wakil rakyat UMNO akan tarik sokongan



PASIR SALAK - Lebih ramai wakil rakyat UMNO dijangka akan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepertimana dilakukan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berkata, tindakan Ahmad Jazlan disifatkan sebagai pencetus kepada perubahan tindakan Ahli Parlimen UMNO yang lain.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah sebenar Ahli Parlimen UMNO yang akan mengambil tindakan demikian.

"Saya difahamkan ada kemungkinan lagi ada beberapa orang akan menarik diri daripada menyokong. Apabila itu berlaku dalam tempoh terdekat jatuhlah kerajaan. Kerajaan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sangat rapuh terdedah kepada gugatan daripada pihak yang tidak menyokong.


"Dengar cerita ada tapi tidak tahu siapa. Apa yang dilakukan oleh Jazlan adalah pencetus kepada perubahan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program 'Kami Prihatin Seronoknya ke Sekolah' di Dataran Belia Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Tajuddin menegaskan tindakan yang diambil Pengerusi UMNO Kelantan itu bukanlah keputusan parti.

"UMNO tidak terlibat dalam perkara ini. UMNO buat keputusan kita bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga pilihanraya, itu keputusan parti.

"Kalau pilihan raya bulan Mac, Mac lah (sokongan). Kalau bulan Jun, Jun lah. Permintaan UMNO supaya pilihan raya dibuat antara bulan Mac dan April. Ini bukan bermakna kita tidak fikirkan soal Covid-19 dan rakyat," katanya.

 
Pada Sabtu, Ahmad Jazlan menarik sokongannya terhadap Muhyiddin sekaligus menyebabkan kerajaan PN berpotensi hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Tindakan itu menyaksikan kerajaan PN ketika ini memiliki sokongan 110 daripada 220 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mengulas isu pembahagian kerusi membabitkan UMNO, Pas dan Bersatu, Tajuddin menegaskan tiada rundingan kerusi membabitkan Bersatu.

"Tiada rundingan. Kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15. Ketua-ketua bahagian sendiri buat usul tidak mahu bersama Bersatu, takkan PAU (Perhimpunan Agung UMNO) tolak, tidak munasabah," katanya. – Sinar


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram