Hanya dua orang beli barang, bekerja dari rumah berkuat kuasa sepanjang PKP



PETALING JAYA – Hanya dua anggota dari isi rumah dibenarkan keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama bagi membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit berdekatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Arahan bekerja dari rumah akan dikuatkuasakan bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai ‘essential services’ sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Muhyiddin berkata, semua majikan mesti mematuhi arahan itu untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi.

“Sepanjang pelaksanaan PKP kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan take away.

“Manakala bagi kawasan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, kedua-duanya dibenarkan beroperasi seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, menurut Muhyiddin, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi.


Katanya, pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.

“Patuhi SOP ketika berada di tempat-tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer.

“Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Tinggal di rumah,” katanya. – Kosmo
Join our Telegram Channel
Telegram