![]() |
Norlida Abu Hassan kiri ibu angkat kepada mangsa menyesal menyerahkan anak angkatnya kepada ibu kandung. |
AYER KEROH: “Saya rasa menyesal kerana tidak pertahankan dia, kalau tahu ini
pengakhirannya saya tidak akan serahkan kepada ibu kandung itu,” demikian ibu
angkat kepada kanak-kanak yang maut selepas ditemui lemas dalam tong dan
dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka semalam.
Menceritakan kekesalan itu, dia yang berusia 50 tahun dan menetap di
Rawang,Selangor berkata kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu baru tiga
bulan diserahkan semula kepada ibu kandungnya selepas dia menjaga kanak-kanak
itu sejak kecil.
Katanya, dia yang kali terakhir berjumpa kanak-kanak itu yang mesra disapa
dengan panggilan ‘Adik’ itu pada awal November lalu, hanya dimaklumkan
berhubung kejadian berkenaan oleh jiran berhampiran rumah keluarga kanak-kanak
itu lewat petang semalam, sebelum bergegas ke Melaka.
“Selepas ibu kandungnya mengambil semula ‘Adik’ pada Oktober lalu, saya memang
terlalu sedih memandangkan saya bela dia dengan penuh kasih sayang sejak dia
berusia kira-kira dua bulan lagi.
“Walaupun perit, itu kenyataan yang saya perlu tempuh memandangkan saya cuma
ibu angkat dan ibu kandungnya tetap mempunyai hak mutlak untuk mendapatkan hak
jagaannya.
“Tetapi saya kesal apabila hampir tiga bulan saya berjaya pujuk hati hilangkan
rindu, saya dapat berita yang cukup tidak boleh diterima, lagi pula ibu
kandung dan ayah tirinya juga tidak pernah pula tunjukkan sikap panas baran,”
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menceritakan detik pertemuan terakhir bersama kanak-kanak malang itu, Norlida
berkata, ayah tirinya yang bekerja sebagai pemandu lori pernah membawa
kanak-kanak itu bersama ke Rawang sebelum mereka bertemu secara ringkas di
kedai makan.
“Dia seorang yang sangat cerdik, memahami dan tidak pernah merengek-rengek
memintakan sesuatu. Malah di usia seawal itu dia sudah berjaya menghafal surah
Al-Mulk yang diajar oleh kakak-kakaknya sepanjang tinggal bersama saya,”
tambahnya sambil menyeka air mata.
Semalam Astro AWANI melaporkan, pihak polis menerima panggilan daripada bapa
tiri kanak-kanak itu yang memaklumkan anaknya itu lemas dalam tong air
setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.
Siasatan pihak polis bagaimanapun mendapati, hasil pemeriksaan fizikal
terhadap mayat kanak-kanak itu menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa
anggota badan, sebelum mayat kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Perubatan
Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sebelum ini, kisah kanak-kanak itu pernah tular pada Oktober tahun lalu
apabila ibu angkat yang menjaganya sejak bayi terpaksa menyerahkan semula
kanak-kanak itu kepada ibu kandungnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Mati didera, ibu, bapa tiri lapor konon anak lemas
- [Video] Kalau tahu saya tak serah kepada ibu kandung dia
- Jiran kerap dengar tangisan kanak-kanak sebelum mati didera
- Ibu kandung arwah adik Amir ada masalah mental, dedah kawan
- Mahu tuntut jasad adik Amir, keluarga angkat terkilan dengan layanan pihak sana
- Ibu kandung arwah Amir bukan pesakit mental – Polis
- Suasana pilu di Hospital Melaka tunggu bedah siasat arwah adik Amir
- Banyak kecederaan baru dan lama, Amir meninggal anggaran 2 jam, bukan 2 hari – Polis
- Amir dikebumikan di Jasin Melaka
- Bapa tiri Amir pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan memukul isteri
Please subscribe
Join our Telegram Channel