PETALING JAYA: Sekumpulan penggodam menggelarkan diri mereka sebagai
‘Anonymous Malaysia’ memberi amaran kedua akan melancarkan serangan siber ke
atas laman web kerajaan dan aset dalam talian menerusi #OpsWakeUp21.
Dalam video berdurasi 3 minit 17 saat, mereka memberi amaran sejak 2015,
penipu terus menipu rakyat melalui e-mel, panggilan telefon, media sosial dan
WhatsApp, dengan menawarkan wang kepada rakyat serta mengugut mereka
seakan-akan mereka melakukan jenayah.
Henti jual data rakyat kepada pihak ketiga
Katanya, puncanya disebabkan penyedia perkhidmatan kerajaan dan swasta yang
mengandungi data peribadi rakyat digodam serta dibocorkan sebelum data itu
kemudiannya dijual kepada pihak ketiga.
“Kami tahu siapa anda. Kami prihatin terhadap negara kami. Ada ahli politik
dan pegawai kerajaan yang mengambil rasuah dan membiarkan ini berlaku,” dakwa
rakaman suara itu.
Dalam video itu, Anonymous Malaysia menegaskan jika tiada tindakan diambil,
netizen akan melakukannya.
“Kami tidak maafkan, kami tidak lupa, nantikan kami,” jelasnya.
Selasa lalu, kumpulan itu dilaporkan berikrar akan melancarkan serangan siber
ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian melalui #OpsWakeUp21.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya akan
menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 atau 5 Akta Jenayah Komputer 1997
sekiranya perkara itu berlaku.
Join our Telegram Channel