Melaka benarkan 500 jemaah solat di masjid kerajaan



MELAKA – Kerajaan negeri ini membenarkan seramai 500 jemaah menunaikan solat di masjid kerajaan, manakala 250 di masjid kariah serta 75 di surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, berkuatkuasa esok.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menerusi satu kenyataan dikeluarkan berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0 yang dilanjutkan sehingga 2 Februari depan.

Jelasnya, jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan itu adalah bagi melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu mengikut kapasiti masjid atau surau dengan mengekalkan penjarakan fiizkal satu meter.


“Mengambil perhatian terhadap pengumuman kerajaan pada 21 Januari lalu, kerajaan negeri bersetuju memutuskan supaya seramai 500 jemaah dibenarkan menunaikan solat di masjid kerajaan, manakala 250 di masjid kariah serta 75 di surau sepanjang tempoh PKP 2.0.

“Jumlah maksimum dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau yang biasa digunakan dengan penjarakan fizikal satu meter,”katanya.

Sulaiman bagaimanapun menegaskan, solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang sama sekali.

Ujarnya, kuliah maghrib dan bacaan Yaasin serta tahlil pada hari Khamis malam Jumaat adalah dibenarkan dan hendaklah  dilaksanakan dalam tempoh masa yang sesuai.


“Meskipun begitu, penceramah dari luar negeri Melaka adalah tidak dibenarkan dan segala aktivit kuliah serta program selain kuliah Maghrib hendaklah ditangguhkan.

“Jawatankuasa masjid dan surau juga hendaklah memastikan jemaah mematuhi tatacara operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Tambahnya, mereka yang tidak berpeluang untuk solat Jumaat disarankan menunaikan kewajipan itu di rumah masing-masing. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram