PM harus rombak kabinet, lantik TPM daripada UMNO, kendurkan ketegangan UMNO-PPBM



PERGESERAN yang berlaku di antara dua parti teras orang melayu, UMNO dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya dapat diselesaikan sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melantik Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Bastein Onn berkata, Perdana Menteri juga perlu membuat rombakan kabinet dan melihat semula komposisi kabinet bagi memurnikan hubungan kedua-dua pihak serta parti-parti di dalam Perikatan Nasional (PN).

“Saya hendak menasihatkan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk beliau lihat kembali mengenai komposisi kabinet bagi memurnikan keadaan dan beliau harus mengambil pendekatan tersebut.

“Perlantikan kabinet yang telah dibuat pada bulan Mac 2020 telah diuji selama sembilan bulan dan kita melihat ada beberapa menteri tidak mencapai tahap yang memuaskan dan beliau mesti menggugurkan menteri yang tidak menunjukkan prestasi yang baik,” katanya.


Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat menegaskan bahawa, keadaan ketika ini tidak sesuai untuk mengadakan pilihanraya kerana peningkatan jangkitan COVID-19 dan juga kesan pandemik tersebut dalam kehidupan rakyat.

“Kita mempunyai baki kira-kira dua tahun sebelum pilihan raya umum ke 15 boleh diadakan kerana mandat ini tamat pada tahun 2023

“Dan memandangkan ketika ini kita tidak boleh membuat pilihan raya ekoran masalah tersebut, perdana menteri harus memikirkan untuk memantapkan kabinet kerana ia dibentuk hanya untuk memuaskan hati parti-parti politik di dalam PN,” katanya.

Menjelas lanjut, Bastien berkata komposisi kabinet PN telah menjadi buah mulut seluruh rakyat negara ini kerana ia berkait rapat dengan soal prestasi mereka.

“Kita sudah melepasi fasa itu dan ketika ini, kita perlukan kabinet yang benar-benar berkeupayaan untuk membantu dan meningkatkan pertumbuhan negara sekaligus membantu rakyat melepasi waktu sukar ini,” katanya.


Dalam pada itu, Bastien mengkritik tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang dilihat tergesa-gesa dalam melucutkan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN) pada Isnin lalu.

“Saya merasakan bahawa, tindakan tersebut telah menghantar mesej yang salah kepada orang ramai kerana umum mengetahui bahawa Tan Sri Annuar mempunyai pandangan yang berbeza dengan Ahmad Zahid.

“Ia mengukuhkan lagi dakwaan orang ramai khususnya golongan muda bahawa UMNO ini adalah parti yang tidak boleh mempunyai pandangan yang berbeza dengan pemimpin dan boleh diambil tindakan.

“Malah ia akan menjauhkan lagi dengan orang-orang muda yang kebanyakkannya adalah idealis. Kalau kita (UMNO) tidak raikan, maka akan ada parti-parti lain raikan, jadi ia menyebabkan UMNO hilang daya tarikan,” katanya. – SuaraTV


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram