Polis telah membuka satu kertas siasatan terhadap “Anonymous Malaysia” yang
memberi
amaran kedua
untuk melancarkan serangan siber, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob
berkata Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia menerima laporan
berhubung ancaman penggodam terbabit dan akan menjalankan siasatan atas
kesalahan mendatangkan khianat awam dan ugutan jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 505 dan 507 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233
Akta Komunikasi dan Multimedia (1998),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Baru-baru ini, kumpulan penggodam Anonymous Malaysia membuat ancaman untuk
menggodam laman sesawang kerajaan menerusi satu klip video yang tular di
platform media sosial.
Antara dakwaan kumpulan itu dalam klip video berdurasi 55 saat ialah sistem
sekuriti Malaysia berada pada tahap rendah dan boleh menyebabkan para
penggodam menjual segala maklumat yang bocor, selain lebih 46 juta data
pengguna syarikat telekomunikasi telah digodam sehingga hari ini.
Anonymous Malaysia hari ini mengeluarkan satu lagi video berdurasi tiga minit
17 saat yang mendakwa “scammer” terus menipu orang ramai menerusi e-mel,
panggilan telefon dan laman sosial sejak 2015 berikutan kebocoran data.
Kumpulan itu mendakwa punca utama perkara itu berlaku kerana pelayan daripada
pihak swasta dan kerajaan yang mengandungi maklumat peribadi telah digodam dan
dibocorkan sebelum dijual kepada pihak ketiga.
Join our Telegram Channel