Tak sesuai DAP tukar kereta rasmi ketika ini, guna wang rakyat pula



Georgetown: Pembelian kereta rasmi baharu Ketua Menteri Pulau Pinang yang harganya hampir mencecah setengah juta ringgit pada ketika ini adalah tidak sesuai.

Tindakan itu disifatkan sebagai tidak sensitif ketika rakyat sedang bergelut dengan kesusahan hidup akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata, tindakan itu hanya mementingkan kualiti hidup pihak tertentu dengan menggunakan wang rakyat.

Menurutnya, wang terbabit sepatutnya digunakan untuk manfaat lebih baik tambahan pula terdapat 5,700 isi rumah di negeri itu yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan.


"Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan Negeri pada 11 Oktober tahun lalu mendakwa Pulau Pinang mengalami defisit namun sebaliknya pula membeli kereta rasmi berkenaan pada 31 Disember tahun lalu pada harga hampir RM460,000 iaitu dalam keadaan ekonomi yang membimbangkan.

"Wang itu jika dibahagikan kepada seramai 661 golongan B40, setiap daripada mereka akan menerima manfaat sebanyak RM695," katanya ketika sidang media di Jalan Macalister di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, sudah dua kali kenderaan rasmi ditukar iaitu jenis Mercedes S560e dan Mercedes S300L.

Berbanding dengan kereta rasmi yang digunakan dua bekas Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu mendiang Tun Dr Lim Chong Eu pada 1982 hingga 1995 dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dari 1995 hingga 2013 sebelum peralihan pentadbiran.

"Kenapa Kon Yeow mahu menggantikan kereta rasmi dalam masa yang singkat dengan menggunakan wang rakyat?


"Kita cadangkan supaya kereta rasmi berkenaan boleh ditukar jika penggunaannya sudah memasuki tempoh 10 tahun," katanya lagi.

Pada sidang media berkenaan, Tong Keong turut menunjukkan kereta rasmi Mercedes 380 SE yang digunakan mendiang Chong Eu selama hampir 14 tahun ketika memegang jawatan Ketua Menteri dan kini masih berada dalam keadaan baik.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang dalam satu kenyataan menjelaskan pembelian kereta rasmi baharu model Mercedes S560e itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November 2019 bagi mengantikan kereta Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Tarikh pembelian Mercedes S560e adalah pada 31 Disember 2020 dengan kos pembelian sebanyak RM458,122.78, iaitu penjimatan sebanyak RM127,765.22 daripada harga asal. – Hmetro 









Join our Telegram Channel
Telegram