UMNO Tangga Batu tolak Bersatu, tanding Dun dimenangi Rafiq



MELAKA: UMNO Bahagian Tangga Batu sebulat suara menyokong usul yang dibawa oleh 66 cawangan untuk menolak sebarang kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Ketuanya, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, keputusan menolak sebarang kerjasama berkenaan dibuat lebih awal iaitu ketika mesyuarat cawangan-cawangan UMNO dalam bahagian tersebut bulan lalu.

“Kita sudah sepakat untuk menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu khususnya dalam menghadapi PRU-15 tidak lama lagi bersama dengan beberapa UMNO Bahagian lain di seluruh negara yang mengambil keputusan sama.

“Saya sendiri tidak mahu melihat sebarang perpecahan tetapi keputusan terpaksa diambil untuk menolak Bersatu kerana kita melihat parti ini telah menganiaya UMNO malah mereka juga mencuri ataupun memberi tawaran-tawaran tertentu kepada ahli UMNO.


“Mereka (Bersatu) tidak menunjukkan sebarang keikhlasan selepas pembentukan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pemerintahan tampuk negara dan beberapa negeri,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu di Baitul Tariq, Klebang Permai, malam tadi.

Majlis perasmian dilakukan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd. Samad selain turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abu Bakar Md. Diah dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Sazali Muhd. Din.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, UMNO Tangga Batu adalah yang pertama membuat keputusan untuk menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu apabila kesemua cawangan yang bersidang bulan lalu membawa usul tersebut.

Katanya, sebelum ini beliau telah ditegur dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri kerana menerima usul daripada UMNO cawangan untuk tidak menjalin kerjasama dengan Bersatu menjelang PRU-15 nanti.


“Walaupun saya ditegur tetapi saya tetap dengan keputusan yang telah dibuat oleh semua cawangan di Tangga Batu untuk menolak Bersatu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ujar Mohamad Ali, satu keputusan dibuat untuk UMNO bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang dimenangi oleh Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen pada PRU-14.

Ujar beliau, jentera PRU-15 telah bersiap sedia untuk merampas kembali kerusi Paya Rumput tanpa mengira sama ada Ketua Bersatu negeri ini mempertahankan kerusinya atau mereka meletakkan calon lain bertanding di situ.

Utusan Malaysia difahamkan Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi Jawatankuasa Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan negeri itu dikatakan akan bertanding sama ada di Parlimen Tangga Batu atau Alor Gajah. – Utusan
Join our Telegram Channel
Telegram