SHAH ALAM – Bekas wartawan, Wan Norhayati Wan Alias, 41, hadir memberikan
keterangan lebih dua jam di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu
dakwaan ajaran agama Melayu.
Proses keterangan itu dilakukan Wan Norhayati atau lebih dikenali Ibu Yati
bermula pukul 10.15 pagi hingga 1 tengah hari di bahagian pembangunan dan
penyelidikan JAIS.
Wan Norhayati mendakwa perkara itu terjadi selepas video tersebut telah
dimanipulasi dengan pelbagai andaian tanpa sebarang usul periksa memandangkan
video itu lebih bersifat dokumentari berkaitan gong.
Katanya, video itu dibuat hasil kajian daripada pihaknya sendiri berkaitan
paluan gong yang bukan sahaja digunakan untuk istiadat pertabalan raja malah
ketika konvokesyen dan muzik untuk hiburan sekali.
Malah, dakwanya ritual api itu sebenarnya dilakukan kumpulan lain yang
berzikir dan mengeluarkan api sebelum diambil sebagai kandungan video dalam
menarik rating dokumentari itu.
“Jadi, adakah palu gong itu sesat dan perkataan ila ha ila ra ila ma’ itu
tercatit dan direkodkan dalam kitab atau manuskrip lama Melayu yang ketika ini
disimpan di sebuah muzium di London, England.
“Saya tidak pernah mengisytiharkan agama baru atau agama ajaran melayu, ”
katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bangunan JAIS di sini semalam.
Jelasnya, kajian berkenaan itu dimulakan selepas ke muzium warisan Melayu di
Universiti Putra Malaysia dengan banyak bahan sejarah hilang selepas
kedatangan arab ke tanah Melayu.
“Saya cuma tidak mahu nilai estitika Melayu itu hilang dengan ramai orang
tidak mengetahui mengenai istiadat paluan gong itu. Tambahan, saya bekas
wartawan dan mempunyai mekanisma pengumpulan maklumat sendiri serta mengambil
daripada sumber yang sahih sahaja.
“Jadi, kalau gong salah, fatwakan paluan gong itu salah agar semua tidak boleh
menggunakannya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh
dengan ajaran baharu dikenali ‘Agama Melayu’ yang didakwa sebagai sesat lagi
menyesatkan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel