IPOH – Belum pun reda kisah mencampak barang pelanggan oleh pekerja sebuah
syarikat kurier, kini timbul pula kisah kotak pesanan pelanggan ‘disarung’
seluar dalam wanita didakwa dilakukan oleh syarikat penghantaran.
Kisah itu tular setelah gambar kotak berkenaan dimuat naik seorang wanita di
media sosial Facebook menerusi akaun Mamaayu Admia Ayunormaslinda, sejak
semalam.
Menurut wanita berusia 32 tahun itu, kotak barang yang dipesan dari Station 18
di Ipoh itu diterima suaminya kira-kira pukul 7 malam, semalam.
Katanya, ketika menerima kotak berkenaan, ia bukan sahaja dalam keadaan kemek,
terbuka dan tidak dibungkus malah disarung seluar dalam berwarna merah jambu.
“Pada mulanya suami tidak sedar yang itu adalah seluar dalam sebaliknya
menyangkakan ia adalah stokin.
“Dia sempat bertanya kepada pekerja syarikat berkenaan, mengapa kotak pesanan
itu dalam keadaan sedemikian namun mereka mendakwa tidak tahu sebaliknya ia
memang diterima dalam keadaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, dia ada berhubung dengan penjual di Station 18 berhubung perkara
itu di mana mereka memberitahu telah menghantar pesanan itu ke Melaka dalam
keadaan baik dan berbungkus.
Katanya, dia juga ada merujuk mengenai perkara itu di pejabat syarikat
penghantaran tersebut di Batu Berendam dan mereka memaklumkan akan menyiasat
insiden berkenaan.
“Sebagai pembeli, saya kecewa apabila menerima bungkusan yang dipesan dalam
keadaan rosak tambahan lagi ia turut disarungkan dengan seluar dalam.
Join our Telegram Channel