Sebuah NGO pro-Palestin melahirkan rasa kecewa terhadap Timbalan Menteri
Pembangunan Usahawan dan Koperasi Mas Ermieyati Samsudin, yang didakwa
merasmikan program yang turut disertai penceramah dari Israel.
Walaupun program itu diadakan dalam talian, NGO Boycott, Divestment, Sanctions
(BDS) Malaysia berkata, sokongan kementerian terhadap acara tempatan yang mana
terdapat penyertaan wakil dari Israel tidak sepatutnya berlaku.
"Kerajaan Malaysia, dari dahulu dan sekarang, termasuk yang sekarang
senantiasa mematuhi dasar rasmi untuk tidak memberikan pengiktirafan kepada
negara Israel serta tidak melakukan sebarang hubungan dengan entiti Israel.
"BDS Malaysia sangat memuji dasar tersebut. Bagaimanapun, perasmian acara
tersebut oleh menteri bertentangan dengan dasar rasmi kerajaan yang dianggotai
beliau sendiri," kata badan itu dalam satu tulisan surat terbuka, hari ini.
Pada 15 Feb lalu, The Star melaporkan program berbentuk sidang kemuncak
keusahawanan itu disokong pihak kementerian dan dirasmikan Mas Ermieyati
secara maya.
Ia menampilkan penceramah profesional dari tujuh negara, iaitu Malaysia,
Singapura, Australia, New Zealand, Israel, Sri Lanka dan Amerika Syarikat yang
berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka melalui perbincangan secara
langsung.
Sehubungan itu BDS Malaysia menggesa Mas Ermieyati, kementerian yang
diterajuinya, kerajaan Malaysia serta semua badan sektor awam dan swasta untuk
terus memboikot Israel.
NGO itu juga mendesak supaya kerajaan memastikan tidak ada penyertaan
organisasi dari Israel dalam sebarang program di negara kita.
"Hanya tindakan seperti itu yang dapat membawa keamanan dan keadilan di bumi
Palestin.
"Hak asasi lima juta rakyat Palestin di wilayah negara itu diduduki secara
haram oleh Israel antaranya di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan
Baitulmuqaddis Timur sehingga kini," kata surat tersebut.
Jelas BSD Malaysia lagi, pencabulan tersebut turut direkodkan oleh pertubuhan
Human Rights Watch dan Amnesty International.
"Hampir dua juta penduduk Palestin di negara Palestin yang asal (dikenali
sebagai Israel) dizalimi oleh sistem undang-undang apartheid. Ini disahkan
lagi oleh kumpulan hak asasi manusia Israel, B'Tselem.
"Pencabulan di kawasan Palestin yang dijajah juga dikutuk pelbagai resolusi
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sementara penubuhan jajahan Israel di
sana adalah haram di bawah Konvensyen Geneva ke-4 dan melanggar resolusi
Majlis Keselamatan PBB 2334 Disember 2016.
"Dan apartheid dikategorikan sebagai jenayah terhadap kemanusiaan oleh Statut
Rome 2002 Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
"Negara apartheid Israel tidak dapat dihukum atas semua pencabulan di atas
semata-mata kerana perlindungan yang diberikan oleh Amerika Syarikat serta
akibat tipu daya propaganda Zionis.
Join our Telegram Channel