Wanita dakwa diraba, dicabul anak bekas Presiden PAS tampil buat kenyataan



Wanita yang mendakwa seorang ahli politik melakukan serangan seksual terhadapnya menggesa satu siasatan yang telus dijalankan ketika wujud beberapa dakwaan mengatakan ada agenda politik dalam laporannya kepada polis.

Aktivis PKR, Yuslaini Azmi berkata dia berharap tuduhannya terhadap Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil tidak disalahguna dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak.

“Saya menolak segala politik kotor yang akan mengeruhkan situasi hanya kerana kami berada dalam blok pembangkang,” kata Yuslaini dalam sebuah kenyataan.


Faiz yang merupakan anak kepada bekas Presiden PAS arwah Fadzil Noor semalam menafikan tuduhan mencabul seorang aktivis wanita PKR, dan mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

Yuslaini telah menamakan ahli politik Amanah itu dalam sebuah laporan polis di Subang Jaya minggu lalu, dia mendakwa Faiz cuba memegang tangannya, “meraba”, dan “memeluk” tubuhnya di dalam sebuah kereta.

“Saya mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan polis ke atas saya.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan,” kata Faiz dalam satu kenyataan di laman Facebooknya semalam.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman dilaporkan berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mac lalu.

Wanita itu mendakwa suspek cuba mencabulnya dan menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung penggunaan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang. – MNow 




Join our Telegram Channel
Telegram