Baru-baru ini tular sebuah hantaran di media sosial mengenai kes kehilangan
seorang lelaki dipercayai diculik semasa berurusan jual beli tiga unit iPhone
yang dibayar tunai semasa penghantaran atau cash on delivery di sekitar
kawasan perniagaan di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Sabtu yang lalu.
Setelah lima hari menghilangkan diri tanpa berjaya dikesan, akhirnya mangsa
culik yang dikenali sebagai Muhammad Amirul Shafiq, 25 tahun, dilaporkan
berjaya ditemui malam-semalam selepas pihak polis berjaya mengesan lokasi di
mana Amirul diculik dan dikurung oleh penculik.
Memetik laporan halaman Harian Metro, Amirul menceritakan semula bagaimana
kejadian penculikan itu boleh berlaku.
Difahamkan, punca kejadian berlaku semasa Amirul melakukan penghantaran COD
tiga unit iPhone 12 bernilai sekitar RM17,000 yang dibeli oleh seorang lelaki
(penculik) dan perjumpaan diadakan di lokasi yang dijanjikan pada sekitar jam
7.30 malam, Sabtu lalu.
“Hampir sejam saya menunggu kedatangan lelaki itu, namun dia masih tidak
muncul. Alasan diberinya, dia ingin mengeluarkan wang terlebih dahulu.
“Sebaik dia tiba, secara baik saya dijemput untuk ikut dia masuk ke dalam
keretanya yang di parkir di bawah satu bangunan kononnya ingin privacy semasa
mengira wang dan tidak mahu orang lain melihat,” ceritanya kepada wartawan
Harian Metro hari ini.
Amirul pada ketika itu dikatakan tidak duduk berdua di dalam kereta bersama
penculik malah dia juga ditemani oleh dua lelaki lain yang tidak dikenali.
Siapa sangka urusan jual beli yang sepatutnya berjalan dengan lancar dan
tenteram bertukar menjadi tragedi sebaik sahaja mata Amirul disembur dengan
spray atau penyembur ubat nyamuk lalu ditumbuk oleh lelaki yang membeli iPhone
itu.
Amirul tidak berdaya melawan setelah matanya pedih ditumbuk dan disembur
racun. Dia cuba menjerit untuk meminta pertolongan daripada orang awam, namun
tidak berjaya setelah tangan serta mulutnya diikat dengan menggunakan pita
pelekat.
“Tidak terbayangkan betapa cemasnya saya pada ketika itu. Saya cuba menjerit
meminta pertolongan namun tiada siapa yang menyedari.
“Saya kemudiannya dibawa mereka ke sebuah farmasi di sekitar Sungai Besi.
Setelah sampai di situ, mereka turun dan membeli satu ubat di farmasi
berkenaan.
“Sangkaan saya ubat itu saja mereka beli, rupa-rupanya saya yang dipaksa makan
10 biji ubat itu sehingga menyebabkan saya mula rasa dalam keadaan separuh
sedar,” jelasnya lagi.
Amirul yang pada itu dalam keadaan separuh sedar kemudiannya dibawa ke rumah
penculik yang terletak di Ayer Keroh, Melaka lalu dikurung bersama seorang
lelaki dipercayai rakan penculik.
“Selepas saya dikurung, ‘pembeli iPhone’ bersama dua lagi lelaki yang
bersamanya itu pergi meninggalkan saya bersama rakan mereka yang ada di rumah
tersebut pada Ahad lalu.
“Saya dikawal rapi oleh rakan mereka yang turut menyamar sebagai anggota polis
kononnya saya ini ada berbuat kesalahan sampai perlu ditahan di dalam rumah
itu,” jelasnya lagi.
Amirul juga menceritakan sepanjang lima hari terkurung di rumah penculik, dia
hanya diberikan beberapa kali sahaja makan nasi dan biskut. Paling
menyedihkan, kadangkala dia juga tidak diberi makan.
Apa yang Amirul boleh buat hanyalah terus bersabar melayan karenah penculik
itu dan baginya mungkin masih ada ‘sinar’ untuk dia bebas dari situ.
Dalam pada terkurung di rumah penculik itu, Amirul menceritakan bahawa dia
bermimpi dirinya akan diselamatkan polis.
Siapa sangka, mimpinya itu menjadi kenyataan selepas pihak polis berjaya
mengesan lokasi dia diculik dan akhirnya dia berjaya diselamatkan pada sekitar
jam 12.30 tengah malam tadi.
Lantaran itu, ayahnya, Sudirman Daek, 50 tahun, menzahirkan rasa syukur yang
tidak terhingga apabila anaknya dilaporkan selamat dan berterima kasih kepada
pihak polis kerana berjaya mengesan lokasi anaknya diculik.
Please subscribe
Join our Telegram Channel