PETALING JAYA: Akar umbi parti komponen Pakatan Harapan (PH) menyokong usaha
menjalin kerjasama blok pembangkang itu dengan Umno sebelum atau selepas
pilihan raya umum, malah mendesak pemimpin parti masing-masing untuk
melakukannya.
Sumber DAP mendedahkan, kebanyakan ahli parti itu menyambut baik perbincangan
awal PKR dan Umno, malah mahu kerjasama itu diperluaskan kepada PH bagi
membolehkan pembentukan kerajaan majoriti.
Malah, kebanyakan pemimpin negeri yang menyokong idea itu dijangka memenangi
pemilihan parti yang sedang berlangsung ketika ini.
“Kami meramalkan semua pemimpin DAP yang menyokong kerjasama dengan Umno dan
PKR akan menang pemilihan parti,” katanya kepada FMT.
“Inilah apa yang akar umbi rasakan ketika ini.”
Sementara itu, sumber PKR berkata rata-rata Ahli Parlimen setala dengan
pandangan masyarakat yang mahu semua parti politik ketepikan perbezaan dan
berganding bahu.
“Banyak Ahli Parlimen daripada pelbagai parti merasakan perlu bersatu untuk
menentang pentadbiran yang semakin keterlaluan,” kata sumber itu yang juga
seorang Ahli Parlimen.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Rahman Dahlan, berkata parti
Melayu itu dan Barisan Nasional terbuka kepada idea kerjasama dengan mana-mana
pihak.
“Sudah tentu (kerjasama itu) tertakluk kepada parti lain harus terima wawasan
Umno dan tidak menjejaskan kepentingan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Rahman berkata sebarang kerjasama Umno dengan parti lain mungkin
berlaku hanya selepas pilihan raya.
“Zaman bekerjasama sebelum pilihan raya sudah berlalu. Sebarang kerjasama
mungkin berlaku selepas pilihan raya, seperti mana di negara lain,” katanya.
Rahman percaya Umno dan BN akan muncul sebagai gabungan dengan kerusi
terbanyak selepas PRU15.
“Kita tengoklah apa akan jadi selepas itu.”
Namun, beliau berkata sebagai parti yang besar, Umno harus terbuka untuk
berbincang dengan parti lain.
“Kita ada daya penarik. Tiada orang mahu bercakap dengan kamu kalau kamu
lemah,” katanya.
Seorang lagi pemimpin Umno berkata idea kerjasama dengan PKR mula dilontar
pada hujung tahun lalu, tetapi ia “dibincangkan secara serius sebulan lepas.”
“Ya memang ada beberapa perbincangan sedang berjalan tapi belum ada keputusan
muktamad,” kata sumber itu kepada FMT.
Sumber berkata kerjasama Umno-PH itu berupaya membuahkan sokongan majoriti
Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Perbincangan semakin rancak,” katanya.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam temubual dengan Utusan Malaysia
mengesahkan beberapa pertemuan tidak rasmi diadakan dengan pemimpin Umno,
dengan hasrat “untuk membentuk kerajaan baharu”.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel