Siapa yang mudah lupa kepada suasana meriah yang seolah-olah membuat bandar
raya Kuala Lumpur menjadi 'banjir merah' pada setiap hujung tahun itu?
Selain sambutan perayaan utama penduduk negara ini, himpunan parti Umno ialah
acara tahunan yang cukup untuk membuat orang ramai tahu bahawa ada sebuah
parti sedang berkumpul, bermesyuarat, berbincang dan berbahas mengenai
kepentingan mereka.
Untuk beberapa lama, istilah PAU - atau perhimpunan agung Umno - dikenali.
Biasanya ia berlangsung selama empat hari dimulai dengan mesyuarat agung
tahunan sayap-sayap parti.
Kemudian barulah ada ucapan dasar yang ditunggu-tunggu. Selepas itu ada
perbahasan usul-usul sebelum diakhiri dengan penggulungan.
Maka seorang demi seorang pemimpin kanan mengambil giliran menggulung.
Lazimnya ia akan berlangsung penuh hangat, mesra, meriah dan tebal dengan
unsur-unsur lelucon.
Kemeriahan itu sangat ketara, hinggalah tahun ini. PAU tiba-tiba dipersiapkan
untuk bersidang hanya selama dua hari iaitu pada 29 dan 30 Sept.
Tak diberi berucap
Ketika ditanya pandangannya mengenai PAU tahun ini, bekas presiden parti itu
menjawab pertanyaan Malaysiakini dengan satu lagi pertanyaan.
"PAU? Oh, ada lagi PAU? Saya fikir dah habis (kena) tapau!" katanya secara
sinis diiringi dengan senyuman meleret.
Memang pada kebanyakan masa sukar untuk melihat presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU) itu senyum lebar.
Muhyiddin tentu faham benar suasana 'temasya' PAU selama ini, kerana beliau
sendiri selama puluhan tahun bergelumang bersama parti berkenaan.
Beliau juga menjadi antara pemimpin terakhir diberi peluang menggulung.
Mengikut adat, semakin kanan dan penting seorang pemimpin Umno, semakin
akhirlah ruang untuknya menggulung diberikan.
Namun pada 2015, Muhyiddin - ketika itu menjadi timbalan presiden Umno - tidak
diberikan peluang membuat ucapan penggulungan.
Ia berlaku ketika beliau berada di kedudukan kedua tertinggi parti melalui
undi anggota Umno juga.
Ia berpunca daripada kelantangan beliau mempersoalkan cara pemimpin Umno dan
kerajaan menangani isu skandal 1MDB. Beliau akhirnya digantung keahlian dalam
parti kira-kira setahun kemudian.
Lalu tertubuhlah BERSATU.
Kata Muhyiddin sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14 berakhir beliau tidak
pernah lagi memikirkan mengenai Umno.
"Apa yang nak jadi dengan parti itu, bukan hal kita lagi. Soal dia nak
bersidang sehari ke, 10 hari ke, atau tak ada bersidang langsung, itu hak
dia," katanya dengan senyum lebar sekali lagi.
Ditanya mengenai kemungkinan beliau kembali kepada Umno, Muhyiddin dengan
tegas menyatakan, ia tidak timbul sama sekali.
"Bodohlah saya (kalau nak kembali kepada Umno). Ia sebuah parti yang
tunggang-langgang, masuk longkang... dah hancur.
"Parti itu bukan saja sudah kalah, tapi juga sudah rosak. Sebab itu kami
tubuhkan BERSATU," katanya.
Anggota parlimen Pagoh itu juga berkata beliau sudah melihat kemungkinan Umno
tumbang lama sebelum rakyat menolak mereka pada 9 Mei lalu.
"Saya pernah cakap semasa PAU lalu. Saya sampaikan semasa ucapan dasar, saya
katakan: jaga-jaga kita boleh kalah.
Diterbitkan 11 Sep 2018, 10:17 am Dikemaskini 11 Sep 2018, 10:22 am
Join our Telegram Channel