PETALING: Walaupun menghormati keputusan
Umno Kelantan memutuskan hubungan dan kerjasama dengan PPBM, tetapi PAS Kelantan berkata, ia tidak terikat untuk mengikut langkah sama.
Ini kerana, kata Setiausaha PAS Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, setiap parti
berhak membuat keputusan dan pendirian sendiri.
“Keputusan yang dibuat satu-satu parti itu tentunya tidak mengikat parti lain
atau ahli parti lain,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Umno Kelantan mengumumkan ia memutuskan hubungan dan kerjasama
dengan PPBM, dan mahu PAS membuat keputusan “jelas dan segera” sama ada
bersama Umno atau PPBM menghadapi PRU15.
Setiausaha Umno Kelantan, Akbar Salim dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat
mesyuarat Umno Kelantan semalam, sebagaimana usul yang diluluskan 12 daripada
13 mesyuarat bahagian sebelum ini.
Che Abdullah berkata, PAS Kelantan menyokong keputusan PAS Pusat, iaitu
memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan Perikatan Nasional
(PN).
Beliau juga yakin pemimpin Umno Kelantan memiliki jiwa besar untuk mengambil
tindakan terbaik demi kepentingan orang Melayu, terutamanya yang berada di
luar Kelantan.
“Menginsafi nasib orang Melayu, Islam bahkan negara, PAS mengambil
tanggungjawab sangat besar untuk menyatukan seluruh umat Islam, Bumiputera dan
juga orang-orang bukan Islam yang tidak ekstremis demi menghalang Pakatan
Harapan kembali berkuasa.
“Sejarah 22 bulan pentadbiran PH sepatutnya memberi pengajaran sangat pahit
kepada Bumiputera dan orang Melayu Islam. Tapi betullah kata Dr Mahathir
Mohamad, Melayu mudah lupa.”
Beliau yakin orang Melayu sangat mengharapkan perpaduan pimpinan Melayu untuk
mempertahankan hak mereka di negara ini.
Join our Telegram Channel