SEREMBAN – Seorang anggota polis berpangkat koperal ditemui mati selepas
dipercayai menembak mati anak lelakinya sebelum menembak dirinya sendiri dalam
kejadian bunuh diri di Jalan Widuri 1, Taman Sentosa Jaya di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata,
anggota berusia 35 tahun dan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun ditemui
mati dengan kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian ini pada pukul 6.42 petang
dan hasil siasatan awal mendapati mangsa telah menembak diri sendiri dengan
menggunakan senjata api jenis pistol selepas menembak anaknya.
“Dua beranak berkenaan ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan polis
percaya kejadian berlaku adalah bunuh diri dan bunuh,” katanya pada sidang
akhbar di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Menurut Mohd. Said, mangsa merupakan anggota polis berpangkat koperal yang
bertugas di Bahagian Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.
“Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun dipercayai ia berkaitan
dengan masalah keluarga.
“Masih terlalu awal untuk saya beri penjelasan berhubung punca si mati ambil
tindakan membunuh diri, tapi saya percaya si mati ada masalah keluarga,”
katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu dan
laporan mati mengejut.
Join our Telegram Channel