PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah mengenal pasti
dan akan mengambil keterangan individu bertanggungjawab ke atas satu video
tular yang dikesan berkecenderungan menghasut orang ramai menentang isu
penggunakan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata,
siasatan telah dijalankan ke atas pemilik akaun Facebook ‘Mujahidah Malaysia’
dan telah mengesan beberapa kenyataan mempertikaikan keputusan mahkamah tinggi
serta bersifat menghasut dasar agama juga perkauman melalui klip video
berdurasi 12 minit 34 saat yang dikongsikan individu tersebut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana
kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Suspek bagi kes ini juga telah dikenalpasti dan individu terbabit akan hadir
ke Bukit Aman untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya menerusi
satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Huzir, PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang
bijak, berhemah dan tindak menggunakan platform berkenaan sehingga boleh
mendatangkan kegusaran serta mengganggu gugat keharmonian negara.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang
sengaja mengancam ketenteraman serta keselamatan awam,” tegas beliau.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 12 minit 34 saat memaparkan seorang
wanita mempertikaikan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian
seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac
lalu.
Menerusi video berkenaan, wanita tersebut mempersoalkan penggunaan kalimah
Allah oleh penganut agama lain selain menyifatkan kalimah tersebut adalah
ekslusif kepada penganut agama Islam dan tidak seharusnya dikongsi.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Mahkamah benarkan penganut Kristian guna kalimah Allah
- KALIMAH ALLAH: Umno, PAS gesa kerajaan lawan keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan
- Boleh guna perkataan Allah: Doa kami dimakbulkan – Teresa Kok
- Polis siasat wanita luah kekecewaan Kristian dibenar guna kalimah Allah
Join our Telegram Channel