PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata menteri Perikatan
Nasional (PN) pernah berjanji untuk melaksanakan dasar Undi18 tahun ini.
“Menteri PN pun tanya siapa yang janji.
“Jawapan bagi menteri PN ialah menteri PN. Menteri PN yang pernah janji dalam
Parlimen,” katanya di Facebook.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali
mempertahankan penangguhan pelaksanaan dasar Undi18, dan membayangkan kerajaan
PN tidak berjanji melaksanakannya dalam tempoh terdekat.
“Pilihan raya seterusnya adalah pada 2023. Siapa janji untuk (laksana Undi18)
pada 2020 atau 2021?” soal Azmin pada majlis di Shah Alam pagi tadi.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata pendaftaran automatik hanya
akan dapat dilaksanakan selepas September tahun depan.
Sebelum itu, seorang lagi menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin, mengkritik SPR
kerana menangguhkan pelaksanaan Undi18.
Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata, alasan bahawa perintah
kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan SPR adalah
tidak munasabah memandangkan ia sudah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.
Hari ini, NGO Undi18 berkata mereka akan mengambil tindakan undang-undang
terhadap kerajaan atas penangguhan itu minggu depan.
Pada November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilapor memberitahu Dewan Rakyat bahawa
pelaksanaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara
automatik dijangka dilaksanakan selewat-lewatnya Julai ini.
Join our Telegram Channel