WANG berjumlah RM2,738,525.08 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO
Selangor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) gagal dilucuthakkan oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM).
Mahkamah Tinggi membuat keputusan menolak permohonan pendakwa raya selaku
pemohon terhadap badan politik itu sebagai responden.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya berkata, pemohon
gagal membuktikan wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram,
selain wang yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak sudah lama habis digunakan.
“Pihak pemohon juga tidak mencabar akaun dan penyataan dikemukakan dalam
afidavit responden. Mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang disita
adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,”
katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik
Haslinie Hashim, manakala peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil
Merican mewakili Badan Perhubungan UMNO Selangor.
Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Selangor
mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – SM
Join our Telegram Channel