PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin mempunyai sokongan
mencukupi di Parlimen untuk membentuk kerajaan.
Anwar yang juga presiden PKR juga yakin kerajaan Perikatan Nasional pimpinan
Muhyiddin Yassin tidak mempunyai majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Meskipun tiga ahli parlimen PKR keluar parti untuk menyokong PN baru-baru ini,
Muhyddin masih tidak mempunyai sokongan secukupnya untuk terus menjadi perdana
menteri, katanya.
“Saya mempunyai jumlah secukupnya (sokongan Ahli Parlimen),” kata Anwar pada
sidang media sebentar tadi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoalkan keabsahan Muhyiddin selaku
perdana menteri, yang menurut beliau hanya mempunyai sokongan terhad di Dewan
Rakyat.
“Yang penting kenapa tak tanya berapa (sokongan) Perikatan Nasional ada?”
katanya kepada pemberita.
“Bagaimana anda boleh simpulkan mereka (PN) ada majoriti dengan tiga Ahli
Parlimen menyokong mereka?”
Anwar berkata dakwaan PN mereka mempunyai sokongan 111 atau 112 Ahli Parlimen
tersasar kerana sebilangan mereka menyokongnya.
“Secara teknikalnya, mereka hanya ada sokongan 100 (Ahli Parlimen). Mereka
tidak ambil kira Warisan, Pejuang (kumpulan pro-Mahathir Mohamad), dan Muda
(Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).”
Anwar berkata tindakan tiga ahli Parlimen PKR menyokong Muhyiddin tidak
mengubah kerapuhan kerajaan PN.
“Mereka ingar mereka ada majoriti, tetapi sebenarnya masih tidak cukup.”
Pada September lalu, Anwar gagal menjatuhkan Muhyiddin sebagai perdana menteri
walaupun mendakwa mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk
membentuk kerajaan baharu.
Join our Telegram Channel