Umno telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi
memaklumkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu untuk menamatkan
kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya
Umum ke-15 (PRU-15).
Sumber dalaman Umno mengesahkan bahawa surat pemakluman itu telah dihantar
kepada Muhyiddin yang juga presiden Bersatu pada 26 Feb lalu.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini belum ada maklum balas berhubung surat
berkenaan.
"Ya, surat berkenaan telah dihantar pada 26 Feb lalu, bagi memaklumkan
keputusan mesyuarat MT Umno untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu.
"Ahli Parlimen Umno juga akan memberikan sokongan kepada kerajaan PN sehingga
Parlimen dibubar.
"Bagaimanapun belum ada jawapan balas terhadap surat berkenaan," katanya
kepada Malaysiakini, hari ini.
Katanya, surat itu dihantar berdasarkan keputusan MT Umno yang bermesyuarat di
Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.
Pada 9 Jan lalu, MT Umno dilaporkan sudah bersetuju dengan usul untuk
memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi PRU-15.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun menjelaskan keputusan muktamad
atau keabsahan berhubung usul berkenaan perlu diputuskan pada Perhimpunan
Agung Umno yang sepatutnya diadakan pada 31 Januari lalu.
Menurutnya, cadangan berkenaan adalah antara usul yang diterima MT Umno dalam
mesyuarat MT yang diadakan 6 Januari lalu dan ia akan dimasukkan sebagai usul
dalam ucapan dasar presiden Umno pada perimpunan agung nanti.
Bagaimanapun Umno terpaksa menangguhkan perhimpunan agung yang dijadualkan
pada 31 Janurai lalu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0
oleh kerajaan.
Terdahulu bekas Setiausaha Agung Umno dan BN, Annuar Musa meminta penjelasan
kepemimpinan Umno sama ada berita menyatakan parti itu tidak akan bekerjasama
dengan Bersatu pada PRU-15 adalah benar.
Jelasnya, jika benar Umno berdepan dengan kerugian kerana menghadapi PRU-15
secara bersendirian.
Join our Telegram Channel