Kenyataan Annuar Musa di Facebooknya kelmarin berkenaan calon perdana menteri
(PM) dan timbalan perdana meteri (TPM) daripada Umno menjelang pilihan raya
umum (PRU) ke-15, mencetuskan pelbagai reaksi.
Paling memancing perhatian, gambar-gambar yang dikongsikan menteri Wilayah
Persekutuan itu bersama beberapa tokoh Umno, yang hampir semuanya merupakan
menteri dalam kabinet Perikatan Nasional (PN).
Tetapi, tiada gambar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mahupun timbalan
presiden, Mohamad Hasan, sedangkan dua jawatan penting negara itu sebelum ini
cukup sinonim dengan dua jawatan tertinggi di dalam parti berkenaan
Hantaran itu hadir di tengah suasana tegang antara dua puak di dalam Umno -
kluster mahkamah dan kluster kabinet.
Ia menimbulkan tafsiran dan persoalan tersendiri.
Antaranya, ada yang mendakwa ia petanda bahawa ‘kluster kabinet’ - merujuk
kepada pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kabinet PN - telah mengatur
gerakan untuk menyingkirkan Ahmad Zahid dalam pemilihan Umno akan datang yang
masih belum ada tarikh sebenar.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Awang Azman Awang
Pawi, kemungkinan itu tidak boleh ditolak sepenuhnya, memandangkan memang ada
gesaan yang datang daripada kumpulan berkenaan agar pemilihan Umno tidak
ditangguhkan.
“Mereka tahu kelebihan yang mereka ada ialah mereka memegang jawatan kabinet
yang banyak memberi mereka kelebihan daripada segi tawar-menawar dalam
politik, jentera, dan mekanisme mendapatkan sokongan.
“Kita nampak kumpulan ini mungkin sudah merencanakan sesuatu dan memulakan
politik berpuak dan boleh menyebabkan perpecahan dalaman parti,” katanya
kepada Malaysiakini.
Kenapa tak turut gesa buka parlimen?
Sedangkan, katanya, individu yang sama berada di dalam kabinet itu tidak pula
menggesa agar Parlimen kembali dibuka segera bagi membolehkan wakil rakyat
bersidang.
Walhal, tambahnya, penyegeraan pemilihan Umno yang didesak oleh mereka itu
akan melibatkan lebih ramai lagi orang - dengan jutaan ahli, ribuan cawangan
dan ratusan bahagian.
“Ini menjadi satu tanda tanya dalam politik masa kini. Jadi, orang boleh
nampak sebenarnya, apa sebenarnya berlaku dan bagaimana hantaran Facebook Annuar Musa itu timbul.
“Nampaknya ia mungkin sudah direncana secara teliti dan mempunyai motif
tertentu, dan kian terserlah apabila diseru pula (agar) pemilihan diadakan,”
katanya lagi.
Dalam hantaran berkenaan, ada gambar Annuar bersama Hishammuddin Hussein
(menteri luar negeri), Ismail Sabri Yaakob (menteri pertahanan), Khairy
Jamaluddin (menteri sains, teknologi dan inovasi), serta Shahidan Kassim
(pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia - PR1MA).
Sekiranya benar bagai ditelah sesetengah pihak, kata Azman Awang,
berkemungkinan Annuar dan Ismail merupakan calon yang akan ditampilkan untuk
jawatan presiden, manakala Hishammuddin pula mungkin ditampilkan untuk jawatan
timbalan presiden.
Khairy, Shahidan, dan Annuar antara yang menggesa pemilihan Umno diadakan
seperti yang dijadualkan pada Jun ini, bersama beberapa individu lain seperti
Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Ketua Penerangan Wanita Umno
Norshida Ibrahim.
Jika 'kluster mahkamah' merujuk tokoh parti itu yang berdepan pertuduhan di
mahkamah (termasuk Ahmad Zahid), 'kluster kabinet' pula merujuk tokoh Umno
yang dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri, atau diberikan jawatan
tertentu dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Kluster itu turut dikaitkan dengan julukan lain seperti kluster menteri,
kluster kuasa dan kluster broker, dan dilihat cenderung untuk mengekalkan
hubungan kerjasama dengan PN menjelang PRU-15.
Sekadar luah ketidakgembiraan
Penganalisis politik Dr Rusdi Omar pula tidak melihat kemungkinan berkenaan,
sebaiknya melihat hantaran Annuar itu hanyalah sebagai caranya meluahkan
ketidakgembiraannya atas keputusan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu.
“Saya tak rasa mcm itu. Cuma mungkin Tan Sri Annuar Musa kurang gembira dan
tak selesa dengan tindakan kepemimpinan utama Umno dalam membuat keputusan
untuk tak bersama bersatu dalam menghadapi PRU-15 nanti,” katanya kepada
Malaysiakini.
Bahkan, dia tidak melihat pemilihan Umno akan dilakukan dalam masa terdekat
kerana ada ura-ura yang mengatakan Majlis Tertinggi (MT) Umno telah menetapkan
untuk pemilihan ditangguhkan, seperti dakwaan Tajuddin Abdul Rahman yang
dilaporkan beberapa media semalam.
Dalam PAU, Umno telah memuktamadkan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu
dalam PRU-15 dan untuk keluar daripada kerajaan PN, tetapi menyerahkan kepada
Ahmad Zahid untuk menentukan garis masanya.
Untuk rekod, pemilihan Umno perlu diadakan setiap tiga tahun dengan kali
terakhir Umno mengadakan pemilihan ialah pada 30 Jun 2018. Tempoh mandat
kepimpinan Umno sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021.
Bagaimanapun, Perlembagaan Umno juga membenarkan MT untuk menangguhkan
pemilihan bagi tempoh tidak lebih daripada 18 bulan daripada tarikh pemilihan
sepatutnya diadakan.
Sebelum ini, desas-desus timbul bahawa Umno dijangka menangguhkan pemilihan
partinya sebagai persediaan mengahadpi PRU-15 yang diramal sesetengah pihak
akan berlaku selepas tamat darurat 1 Ogos nanti.
Usul itu dikatakan telah dibawa ke mesyuarat MT pada Februari lalu, namun,
keputusan mengenainya dikatakan ditangguhkan sehingga selepas PAU 2020 yang
telah melabuhkan tirai Ahad lalu.
Kalau ada pakatan, saya bagitahu
Shahidan ketika dihubungi turut menafikan dakwaan demikian.
“Tak tahu. Kami tak tahu pun. Kami tak pernah jumpa. Anggaplah gambar tu album
Tan Sri Annuar Musa sahaja.
“Belum ada pakatan lagi. Kalau ada pakatan, saya bagitahu. Kalau saya ada
pakatan, saya tidak pernah takut untuk menceritakan (hal) sebenarnya,”
katanya.
Malah, dia turut membayangkan akan membuat pengumuman sedikit masa lagi
mengenai pendirian politiknya.
“Dalam masa terdekat ini saya akan bagitahudi mana pendirian saya. Buat masa
sekarang, saya bersama kepemimpinan MT (Umno) lah.
“Kadang-kadang saya macam dilupakan. Orang jumpa pun orang bubuh (hentam)
saya, padahal saya pun ada jasa juga,” katanya lagi.
Prospek Ahmad Zahid dalam pemilihan
Bila-bila pun pemilihan Umno akan diadakan, Rusdi melihat Ahmad Zahid masih
mempunyai sokongan kuat di akar umbi.
Bagaimanapun, dia berpandangan Ahmad Zahid harus mengambil pendekatan “berjiwa
besar” dengan menyerahkan sementara jawatannya untuk dipangku timbalan
presiden sementara menunggu kes perbicaraan mahkamahnya selesai.
Manakala Awang Azman pula melihat pemilihan yang akan datang ini akan
menyaksikan persaingan sengit, antara kem presiden dengan kem kabinet yang
mempunyai kelebihan kerana berada dalam kerajaan.
Katanya, gesaan segelintir pihak di dalam Umno agar pemilihan disegerakan
adalah mungkin atas dasar bimbang bahawa mereka tidak akan lagi disenaraikan
sebagai calon ahli parlimen, sekiranya pemilihan dibuat selepas PRU-15.
Ini memandangkan keputusan pencalonan itu terletak di tangan presiden,
sedangkan ada pihak dalam kalangan kluster kabinet yang begitu lantang
mengkritik Ahmad Zahid.
Join our Telegram Channel