Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan Malaysia akan
meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk
Diskriminasi Kaum (Icerd) ketika di Perhimpunan Agung PBB berdasarkan syor
yang dibuat menteri luar ketika itu, Saifuddin Abdullah.
Perkara itu dinyatakan bekas timbalan menteri pertahanan Liew Chin Tong dalam
buku terbarunya, Lim Kit Siang: Patriot. Leader. Fighter.
Apa yang dinyatakannya dalam buku itu bertentangan dengan pendirian Saifuddin
bahawa dia tidak bertanggungjawab terhadap usaha ratifikasi Icerd yang
akhirnya menjadi isu melibatkan kaum dan menjejaskan pentadbiran PH.
Saifuddin sebaliknya berkata usaha ratifikasi Icerd - yang dikendalikan
kementeriannya pada masa itu - terkandung dalam manifesto PH dan ucapan Dr
Mahathir ketika Perhimpunan Agung PBB pada 2018.
Bagaimanapun Liew berpandangan bahawa Mahathir memberikan ucapan itu
disebabkan Saifuddin.
"Berdasarkan syor oleh menteri luar Saifuddin, perdana menteri mengumumkan
dalam perhimpunan agung PBB pada 28 September yang Malaysia akan menjadi
penandatangan Icerd," katanya.
Pada 14 April lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyatakan Icerd
tidak disebut dalam manifesto PH, tetapi hanya menyatakan akan meratifikasi
perjanjian antarabangsa yang dilihat “sesuai”.
Menurut Liew lagi, susulan pengumuman Mahathir, pemimpin Umno seperti Khairy
Jamaluddin pun - yang dilihat sebagai seorang yang progresif - melihatnya dari
sudut kaum.
"Dalam reaksi segera, pemimpin Umno yang dikatakan progresif, Khairy menjadi
orang pertama yang membayangkan konvensyen PBB itu mengancam orang Melayu,"
katanya lagi.
Katanya lagi, Umno dan PAS menggunakan isu tersebut untuk menubuhkan Muafakat
Nasional dan terus membangkitkannya sehinggalah Mahathir menarik balik
keputusan ratifikasi pada November.
Segelintir pihak bimbang Icerd akan membuatkan Malaysia perlu mematuhi
kesamarataan yang akhirnya menjejaskan hak istimewa orang Melayu.
Ia di sebalik hakikat yang Icerd membenarkan mana-mana negara memasukkan
klausa pengecualian ketika meratifikasinya.
Join our Telegram Channel