PETALING JAYA: Umno sedia bertanding ‘solo’ tanpa PAS pada PRU15, jika parti
itu mendapati PPBM lebih “lawa” dan “kaya,” kata Pengarah Pilihan Raya Umno,
Tajuddin Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata demikian sehari selepas PAS-PPBM
mengeluarkan kenyataan bersama, mengenai penubuhan sebuah jawatankuasa pusat
untuk memuktamadkan pengagihan kerusi antara dua parti itu pada PRU15.
Tajuddin enggan menyatakan sama ada kenyataan bersama itu boleh dianggap PAS
memilih PPBM dan bukan Umno sebagai sekutunya pada PRU15, namun menegaskan
Umno bersedia untuk apa jua kemungkinan.
“Kalau kita bersama PAS, walaupun belum ‘final’ (muktamad), Umno akan tanding
sekurangnya 96 kerusi. Itu kalau bersama PAS. Kalau PAS suka bersama PPBM, dia
tengok PPBM lagi lawa, kaya dia, (dan) kata Umno miskin, tak apa, miskinlah,”
kata Tajuddin.
“Kita akan terus dengan semangat perjuangan. Kita akan tanding solo, tanpa
PAS. Kalau PAS kata tak nak bersama kita, kita akan bertanding minimum 120
kerusi,” katanya dalam wawancara khas FMT.
Umno dan PAS sebelum ini menjadi sekutu menerusi penubuhan Muafakat Nasional
yang menjadi teras kerjasama politik antara dua parti Melayu terbesar yang
sering bermusuhan.
Bagaimanapun, hubungan baik antara dua parti itu yang terjalin menerusi MN,
mula bergolak susulan tindakan PAS menjadi rakan utama PPBM dalam Perikatan
Nasional. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pengerusi PN dan presiden PPBM.
Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) hujung minggu lalu, parti itu memutuskan
untuk menamatkan kerjasama dengan PPBM dalam menghadapi PRU15. Beberapa
pemimpin kanan Umno juga mahukan PAS memilih antara Umno dan PPBM sebagai
sekutunya pada pilihan raya umum nanti.
Tajuddin beritahu FMT, Umno tetap mahu bertanding di semua kerusi tradisinya,
termasuk kerusi yang disandang oleh mereka yang menang atas tiket Umno sebelum
lompat ke PPBM.
Jika ada perubahan dalam jumlah kerusi yang bakal ditandingi Umno, ia hanya
tertakluk kepada perbincangan dengan PAS, kata beliau.
Join our Telegram Channel