Seorang pemuda Pakistan berusia 32 tahun dimasukkan ke hospital selepas
kemaluannya hilang akibat dipotong sekumpulan lelaki tidak dikenali di Klang,
Selangor baru-baru ini.
Rakan mangsa yang juga warganegara Pakistan, Rizwan Ahmad membuat laporan
polis semalam dan menceritakan kepada Malaysiakini bagaimana insiden berkenaan
terjadi.
Menurut Rizwan, mangsa pada awalnya duduk bersantai berseorangan berhampiran
Masjid Alam Impian pada malam Ahad lalu, sebelum didekati empat lelaki.
Rizwan berkata rakannya itu ditanya beberapa soalan seperti sama ada dia telah
berkahwin, pasangannya dan sama ada mangsa pernah melakukan hubungan seks
ketika di Malaysia.
Namun, mangsa menjawab dia telah berkahwin dengan pasangannya di Pakistan dan
tidak melakukan hubungan seks ketika berada di negara ini.
“Lepas tu dia (salah seorang daripada suspek) kata buka baju, seluar. Lepas tu
10 kali naik turun, duduk bawah, naik (ketuk ketampi).
“Lepas dah 10 kali (ketuk ketampi), dia (kawan saya) naikkan seluar.
“India tu cakap saya tak ada cakap you (kena) naikkan seluar. Kenapa you
naikkan seluar?” katanya.
Rizman berkata suspek kemudian bertanya kepada mangsa mengapa kemaluan mangsa
tidak menegang.
Bagaimanapun mangsa menjawab dia tidak boleh berereksi ketika itu.
Suspek berkata, memandangkan kemaluan mangsa tidak boleh menegang, suspek
ingin memotong kemaluan mangsa kerana dianggap tidak berguna lagi.
Namun mangsa merayu kepada suspek supaya jangan memotong kemaluannya.
“Dia (mangsa) cakap jangan potong (kemaluan). Kaki saya boleh potong, tangan
boleh potong,” Rizman menceritakannya lagi.
Malangnya, kemaluan pemuda tersebut dipotong sebelum ia dicampakkan.
“Dia (suspek) sudah potong habis… lepas tu dia terus lari,” katanya.
Apabila ditanya mengapa rakannya tidak melarikan diri ketika kejadian, Rizman
berkata rakannya ditahan oleh suspek dengan lengannya dicengkam kiri dan
kanan.
Rizman berkata lagi rakannya pengsan kerana menahan kesakitan sebelum berjaya
menghubungi salah seorang daripada rakan mereka yang lain untuk mendapatkan
bantuan.
Katanya, telefon bimbit mangsa dicampak di kawasan berdekatan sebelum
kejadian. Namun mangsa berjaya mendapatkannya walaupun terpaksa menanggung
kesakitan yang teramat.
Dia juga menghantar lokasi kepada rakannya itu walaupun mengambil masa sekitar
setengah jam untuk mencari tempat kejadian.
Apabila ditanya apakah yang terjadi kepada kemaluan yang telah dicampakkan
itu, katanya ia masih tidak dijumpai.
“Tak ada jumpa. Kita ramai pergi cari, polis pun ada sampai sana, polis pun
ada tolong cari tapi tak dapat lagi,” katanya.
Menyifatkan mangsa sebagai seorang yang baik hati, dia turut yakin bahawa
mangsa tidak mempunyai sebarang musuh.
Menurut Rizman, mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),
Klang dan kemudian dipindahkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mangsa merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Keluarganya di Pakistan tidak dikhabarkan mengenai kejadian yang menimpanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat turut mengesahkan
laporan tersebut.
Fadzil berkata siasatan masih dijalankan untuk mengetahui motif sebenar
kejadian.
Join our Telegram Channel