Kerajaan telah membelanjakan banyak wang iaitu sebanyak RM600 bilion dalam
Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia
yang terkesan akibat Covid-19, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
"Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19.
RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan.
"Saya pergi sekolah tapi saya tak pandai kira how much is that, saya
fikir banyak orang Sikh faham,
it is more than RM600 billion, that's big sum of money (ia lebih
daripada RM600 bilion, jumlah yang sangat besar)," katanya kepada masyarakat
Sikh sempena sambutan perayaan Vaisakhi di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
"What i am trying to say here, we don't have much money left (Apa yang
saya cuba nak sampaikan di sini, kita tak banyak wang lagi yang tinggal),"
katanya.
"Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling
penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat
menguruskan diri dengan lebih baik," katanya.
Meskipun demikian, Muhyiddin berjanji memperuntukkan RM3 juta untuk semua 120
kuil Sikh di negara ini. Jumlah itu meningkat sedikit berbanding RM2.18 juta
pada tahun 2020.
Perdana menteri juga mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Majlis Gurdwara
Malaysia bagi membina pusat Sikh.
Pada Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baru yang
digelar Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai
RM20 bilion.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelbagai pakej rangsangan, iaitu Prihatin
bernilai RM250 bilion, PKS Prihatin (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion), Kita
Prihatin (RM10 bilion) dan Permai (RM15 bilion).
Sementara itu, Muhyiddin berharap rakyat Malaysia dapat mengenal sambutan
perayaan pelbagai kaum dan agama di negara ini.
"Saya ingin menegaskan bahawa dasar Perikatan Nasional sangat berlandaskan
prinsip hormat, inklusif dan keadilan.
"Oleh itu, penting bagi kita untuk saling mengenal dan memahami keunikan
budaya dan sejarah antara satu sama lain," katanya.
Join our Telegram Channel