Presiden PKR, Anwar Ibrahim menafikan bahawa dia adalah pemilik suara yang
dirakam dalam perbualan telefon dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa klip audio berkenaan merupakan usaha
daripada kepimpinan negara setelah gagal "mengugut" dan "merasuah" pemimpin
pembangkang.
"Saya malam ini ingin nyatakan bukan sahaja penafian, tetapi ternyata, selain
menafikan, ia menunjukkan betapa gundah-gulananya pimpinan negara ini mencari
apa saja tipu helah, ugut, beri orang rasuah, tak makan (tak dapat merasuah),
maka dia sebar fitnah," katanya ketika berucap semasa melancarkan bilik
operasi PKR di Selangor malam ini.
Sejak semalam rakaman audio selama empat minit itu beredar dalam talian di
mana individu yang suaranya mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki
suara seakan Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung Umno.
Zahid juga menafikan
suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan mengatakan telah mengarahkan
pegawainya untuk membuat laporan polis.
Anwar berkata, fitnah menggunakan rakaman audio itu digunakan untuk
mencetuskan pertelingkahan di kalangan pemimpin Umno.
"Saya nak sebut, (audio) ini nak gunakan kita nak lawan politik dalam Umno,
nak gunakan kononnya perbualan saya dan Datuk Seri Zahid untuk politik Bersatu
nak menikam pimpinan Umno.
"Ini bukan kerja saya. Sebab itu saya akan arah pegawai saya buat laporan
polis, biar dia (polis) siasat siapa yang punca.
"Ada yang suara macam saya, saya tak peduli. Ternyata ada usaha untuk
memfitnah, merekayasa dengan lebih canggih," katanya menambah bahawa DAP dan
Amanah merupakan rakan setia PKR dan tidak akan terpengaruh dengan 'fitnah'
tersebut.
Bulan lalu, dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, Anwar mengakui bahawa PKR
dan Umno mengadakan pertemuan tidak rasmi untuk membincangkan kerjasama bagi
menyelamatkan negara dari kehancuran.
Dalam sidang media selepas itu, Anwar menjelaskan bahawa walaupun terdapat
perbincangan, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai kemungkinan
kerjasama berkenaan.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang juga mengesahkan bahawa parti itu di
peringkat awal perbincangan dengan Umno.
Join our Telegram Channel