![]() |
Muhyiddin memeriksa perbarisan anggota RELA pada Majlis Perhimpunan Bersama Anggota RELA Sabah di Dewan Canselor, UMS, Ogos 2020. - Foto BERNAMA |
KECOH di media sosial pada Isnin mengenai orang awam yang mendakwa diri mereka
telah didaftarkan sebagai ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tanpa
sedar.
Menerusi laman Twitter, mereka yang terlibat terkejut apabila nama mereka
tersenarai sebagai anggota berdaftar dengan pasukan beruniform itu menerusi
semakan yang dibuat.
Rata-rata mereka berkongsi tangkap layar semakan yang dibuat menerusi laman
web semakan ahli Rela.
Berdasarkan semakan, nama-nama mereka telah didaftarkan sejak 2010 meskipun
tidak didaftarkan secara sukarela.
"Sejak bila aku ahli Rela? Aku tak rela," tulis seorang netizen.
Rentetan itu, laman web berkenaan turut mengalami masalah untuk diakses,
kemungkinan disebabkan ramai 'menyerbu' untuk memeriksa sekiranya nama mereka
turut didaftarkan.
Sementara itu, mStar turut mendapat reaksi daripada beberapa orang awam yang
amat terkejut apabila nama mereka disenaraikan.
Nor Azri Syahirah Mohd Sabri, 33, mengakui terkejut apabila namanya
didaftarkan sebagai ahli Rela.
"Terkejut sebab tarikh daftar pada 2010. Dah 11 tahun jugalah, sedangkan 2010
tu saya baru sambung pengajian di universiti.
"Saya tak pernah daftar. Masuk (Askar) Wataniah, PLKN (Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) semua tak pernah, tiba-tiba jadi ahli Rela," katanya kepada
mStar.
Lebih dikenali sebagai Neyra, dia turut bimbang sekiranya terdapat pihak
tertentu yang menggunakan data peribadi orang awam untuk pendaftaran sebagai
ahli Rela.
"Kena check dengan Rela. Ye lah kita tak tahu selama ini kot ada orang ambil
elaun (Rela) ke. Ahli Rela kan ada elaun," katanya.
Bagi Mohd Faizal, 36, dia juga terkejut apabila namanya disenaraikan sebagai
ahli Rela.
"Agak terkejut sebab tak pernah daftar. Rasanya ada kebocoran maklumat dari
sana sini. Saya tak pasti. Saya boleh claim elaun ke?" katanya ketika
dihubungi, sambil menambah namanya telah didaftarkan sebagai ahli Rela sejak
2011 menerusi semakan yang dibuat.
Mohd Faizal bagaimanapun berharap data peribadi orang awam tidak
disalahgunakan sekiranya perkara yang berlaku membabitkan keanggotaan Rela
tanpa sukarela itu adalah benar.
"Desakan saya supaya data peribadi tak disalahgunakan, walaupun kakitangan
kerajaan sendiri. Amanah dalam pekerjaan adalah sangat penting.
"Sedih dengan isu salahguna kuasa ini," katanya dengan nada kesal.
Sementara itu, mStar turut menghubungi Ketua Pengarah Rela, Yahya Sulaiman
bagi mendapatkan maklum balas berhubung isu yang tular.
Beliau bagaimanapun memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi
dalam waktu terdekat.
Join our Telegram Channel