Kita berjaya kawal Covid hingga tak dianggap wabak bagi sesetengah orang, kenyataan Annuar undang cemuhan



PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, dikritik di media sosial selepas dilaporkan mendakwa hakikat sesetengah orang tidak “takut” Covid-19 dan melanggar perintah sekatan, membuktikan kerajaan berjaya mengawal wabak itu.

“Bila orang tidak takut ertinya bagi sesetengah orang ini tidak (ada) wabak. Larang pun dia buat, jangan rentas sempadan, (pun) dia buat. Dia tidak takut, sampai kita terpaksa menggunakan kuasa-kuasa kepolisan,” Annuar dipetik berkata oleh Malaysiakini.


“Sepatutnya bila wabak, masing-masing orang akan pertahan diri sendiri. Pada saya itu adalah petunjuk bahawasanya kita berjaya mengawal wabak sehingga dia tidak dianggap wabak oleh sesetengah orang.

“Itu tanda kejayaan,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai pihak di media sosial.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, menyifatkan kenyataan Annuar sebagai tidak peka atau prihatin terhadap nasib ratusan ribu rakyat yang terjejas akibat pandemik itu kerana “ketidakcekapan kerajaan”.


Pengasas bersama MUDA, Lim Wei Jiet berkata kenyataan Annuar tidak masuk akal sama sekali.

Annuar seolah-olah berkata “orang ramai yang tidak takut berada dalam rumah yang sedang terbakar menunjukkan kebakaran sudah dikawal, malah ia tidak lagi dianggap kebakaran,” oleh bomba, kata beliau menerusi Twitter.

Azrul Mohd Khalib, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, kenyataan dikeluarkan Annuar menunjukkan kenapa “orang-orang sebegini tidak layak menyertai kerajaan.” – FMT






Join our Telegram Channel
Telegram