Polis siasat Tok Pa langgar SOP makan di kafe



Polis Daerah Jeli membuka kertas siasatan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketuanya DSP Ahmad Arifin berkata anggota Perlimen Jeli itu dan beberapa individu lagi disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Kata Ahmad polis menerima satu laporan semalam susulan gambar menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi itu tular di media sosial.


"Bertindak atas laporan polis, kami membuka siasatan terhadap empat individu dan pemilik premis kerana dipercayai melanggar SOP semasa PKP.

"Kami akan memanggil kesemua mereka untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambah Ahmad polis memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP walaupun individu terbabit seorang pemimpin kerajaan.


Terdahulu, tular gambar Mustapa - yang mesra dipanggil Tok Pa - dan beberapa individu termasuk pegawainya sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Jeli.

Kejadian itu disedari ramai selepas pemilik kedai terbabit memuat naik gambar kunjungan menteri berkenaan di media sosial dan tular sebelum mengundang pelbagai kritikan netizen.


Sementara itu Malaysiakini malam tadi melaporkan Mustafa mengakui dan memohon maaf atas tindakan itu. 

"Datuk Seri Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Café, Kampung Kalai, Jeli pada Sabtu lalu.

"Berikutan tersebarnya gambar mengenai kehadiran beliau di kafe tersebut, Ketua Polis Daerah Jeli menghubungi beliau tengah hari tadi memaklumkan bahawa kertas siasatan telah pun dibuka mengenai perkara ini.

"Beliau memohon maaf atas pelanggaran SOP ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya," kata pejabat Mustapa dalam kenyataan kepada media. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram