RASMI: Microsoft perkenalkan Windows 11, update percuma



MICROSOFT Corp akhirnya melancarkan Windows 11 yang menyaksikan perubahan sistem operasi utama sejak 2015 dengan memberi cabaran terbaharu kepada Apple Inc khususnya App Store.

Windows 11 akan memasuki pasaran pada penghujung tahun ini namun versi beta akan mula diluncurkan mulai minggu depan kepada pengguna.

Berita baik buat pengguna Windows 10 versi terkini -- anda akan mendapat kemas kini Windows 11 secara percuma.

Terdapat dua perkara yang menarik berkaitan Windows 11.

Pertama, Microsoft menawarkan Windows Store baharu yang membolehkan pembangun perisian menggunakan sistem pembayaran dalam aplikasi mereka sendiri tanpa membayar komisen kepada Microsoft.

Kedua, pengguna boleh mencari dan menggunakan aplikasi Android di komputer riba dan PC mereka hasil daripada bantuan teknologi daripada Amazon dan Intel Corp.

Ini sekali gus bertentangan dengan pendekatan digunakan Apple yang mana pengguna hanya boleh memuat turun perisian daripada App Store dan kawalan dikenakan kepada pembangun perisian yang turut memberi cabaran kepada Google Play Store.

Perang sistem operasi dan 'kedai aplikasi' akan lebih sengit antara tiga gergasi teknologi ini.


APA YANG WINDOWS 11 TAWARKAN?

Windows 11 merangkumi banyak ciri yang ditujukan kepada pengguna seperti kemampuan melepaskan komputer (undock) yang disambungkan ke monitor luaran dengan lebih lancar untuk membuat panggilan di bilik yang lebih senyap dan kembali ke stesen dok selepas itu.

Terdapat juga ciri-ciri baharu untuk 'gamers' seperti aplikasi Xbox yang menawarkan pengalaman permainan "lebih lancar dan laju".

Ini ditambah dengan saiz sistem operasi ini 40 peratus lebih kecil dan menggunakan tenaga yang rendah serta sistem keselamatan yang lebih baik.

Antara yang menarik ialah 'interface' baharu, menu "Start" baharu, kemudahan carian dan kemas kini pada beberapa rekaan termasuk ciri-ciri Desktop yang berbeza.

Windows 11 juga lebih mesra skrin sentuh dan boleh digunakan tanpa papan kekunci sama seperti Windows 10, manakala Windows Widget dilengkapi dengan kecerdasan buatan.


BOLEHKAH KOMPUTER SAYA MUAT TURUN WINDOWS 11?

Setiap spesifikasi komputer itu berbeza-beza jadi memerlukan pengguna memeriksa dengan teliti sebelum boleh muat turun Windows 11.

Bagaimanapun anda jangan bimbang kerana Microsoft telah menyediakan perisian PC Health Check untuk menyemak sama ada komputer anda sesuai atau tidak untuk Windows 11.

Jangan risau jika tidak layak kerana Microsoft mengumumkan Windows 10 masih disokong hingga 14 Oktober 2025. – Awani




Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram