Seorang murid berusia sembilan tahun dikejutkan apabila telefon subsidi yang
diterima menerusi program Jaringan Prihatin terbakar ketika dia mengikuti
kelas dalam talian pada Isnin lalu.
Ibu saudara kanak-kanak lelaki itu, Suryani Abd Ghani kemudian menyuarakan
kekecewaannya di Facebook.
"Nasib baik kami ada di rumah, kalau tidak mungkin rumah sudah terbakar,"
katanya.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Suryani menjelaskan dia sendiri melihat insiden
itu, yang berlaku di rumah mereka di Gombak.
"Saya berada di depan dia. Saya menggigil ketakutan. Ia berlaku kira-kira jam
930 pagi ketika kelas pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
"Anak saya jadi pucat dan terus lari. Saya juga pakai telefon tapi tak pernah
jadi macam ini. Mujurlah tiada yang cedera," katanya.
Sesi persekolahan diteruskan minggu ini tetapi masih dibuat secara dalam
talian susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.
Golongan berpendapatan rendah menerima kesan terbesar apabila sesetengahnya
tidak mampu untuk mendapatkan peranti atau akses internet.
Untuk mengatasi masalah itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan
program Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion yang menyasarkan golongan isi
rumah berpendapatan rendah.
Di bawah program ini, mereka yang layak akan diberi subsidi RM300 untuk
peranti atau rebat RM180 untuk pelan data sepanjang 12 bulan.
Mereka boleh menambah duit sendiri jika ingin membeli peranti dengan harga
melebihi RM300.
Suryani yang merupakan guru tadika berkata, suaminya membantu anak saudara
mereka untuk memohon peranti di bawah program itu tetapi tidak menambah wang
sendiri kerana mengambil kira keadaan kewangan mereka.
"Kami mohon telefon pintar untuk dia kerana laptop yang dia guna sudah lama
dan perlahan," katanya.
Bagaimanapun, dia berkata telefon tersebut cepat panas dan baterinya tidak
bertahan dengan lama.
"Jika nak bagi telefon percuma, janganlah macam ini sebab bahaya," katanya
sambil menjelaskan telefon itu tidak dicas ketika kejadian berlaku.
Pemeriksaan di internet mendapati telefon pintar itu berharga bawah RM200 jika
dibeli menerusi satu promosi pelan data.
Insiden itu menarik perhatian bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed
Abdul Rahman yang mengecam kerajaan kerana membenarkan telefon "berkualiti
rendah" diagihkan.
Telefon itu juga sama dengan yang diagihkan oleh kerajaan Perak. Program
kerajaan negeri itu menyasarkan agihan sebanyak 20,000 telefon pintar kepada
pelajar untuk tujuan pembelajaran.
Ia mengundang kecaman selepas Exco Pendidikan Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud
mengakui kemampuan telefon tersebut hanya untuk pembelajaran.
"...Sekiranya pelajar merungut telefon diberikan ini perlahan atau kualitinya
tidak baik, saya percaya mungkin pelajar menggunakannya untuk bermain game
dalam talian dan sebagainya memandangkan prestasi peranti ini sememangnya akan
terjejas jika dipasang dengan aplikasi berat seperti game'" katanya seperti
dipetik Harian Metro dua hari lalu.
Namun bagi Syed Saddiq, rasional seperti itu menunjukkan prasangka buruk
terhadap pelajar.
"Bagi telefon kualiti rendah sebab buruk sangka dengan pelajar kononnya mahu
elak mereka main game.
"Akhirnya, telefon rosak. Yang susah, pelajar.
Jenama YES adalah di bawah syarikat YTL yang seperti diketahui umum merupakan
kroni bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. – Mkini / Cinca
Join our Telegram Channel