Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi, mencabar empat Adun Bersatu
Johor untuk menarik sokongan terhadap kerajaan di negeri itu bagi membuktikan
mereka benar-benar berani.
Jika tidak, katanya, ancaman yang dilakukan mereka itu sekadar "hangat-hangat
tahi ayam."
"Saya cabar empat Adun (Bersatu Johor) itu supaya lakukannya (tarik sokongan)
dengan segera dan jangan hangat-hangat tahi ayam," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini hari ini.
Pada masa sama Mohd Puad berkata, dia yakin ada beberapa Adun Bersatu Johor
yang sudah bersedia meninggalkan parti mereka untuk menyertai Umno.
"Ia bukan lagi rahsia, mereka tunggu masa yang sesuai saja," katanya lagi.
Mohd Puad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan empat Adun Bersatu yang
menyatakan kesediaan mereka menarik sokongan terhadap kerajaan Johor jika Umno
terus mendesak presiden mereka, Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai
perdana menteri.
Untuk rekod, kerajaan Johor diketuai oleh Umno namun parti itu bergantung
kepada sokongan Bersatu untuk kekal menguasai DUN. Kegagalan mendapat sokongan
itu akan menyebabkan kerajaan boleh bertukar sekali lagi.
Pada 7 Julai lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan MT parti
itu bersetuju untuk menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin, dan
menggesa kerajaan sementara dibentuk untuk mengambil alih.
Kata Puad, ketika ini Muhyiddin bukan saja gagal sebagai perdana menteri malah
juga sebagai presiden partinya.
"Muhyiddin gagal menambah ahli, gagal menambah cawangan dan gagal menambah
bahagian Bersatu di seluruh negara.
"Bersatu menjadi parti yang tidak dinamik," katanya.
Tambah Mohd Puad, Umno pula sebaliknya mempunyai tujuh sebab kukuh untuk
membatalkan sokongan mereka terhadap Muhyiddin yang juga bekas menteri besar
Johor itu.
"Maka apa alasan kukuh empat Adun Bersatu itu mahu menarik sokongan kepada
menteri besar Johor?" soalnya. "Sudah tentu ia dibuat atas dasar balas dendam.
Tindakan mereka itu nanti pasti jadi seperti senjata makan tuan kepada
Muhyiddin," katanya.
Jelas Puad, umum juga mengetahui bahawa Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad,
adalah menteri besar yang berjaya.
"Sewaktu Covid-19, dia fokus membantu rakyat yang terkesan, bahkan dia paling
cepat mengumumkan sidang DUN Johor akan dibuat pada 12 Ogos setelah Yang
di-Pertuan Agong bertitah mengenainya.
"Sedangkan Muhyiddin pula masih mencari alasan untuk memberi tarikh sidang
parlimen," katanya
Kerajaan Johor pimpinan Hasni ketika ini mempunyai 29 kerusi manakala Pakatan
Harapan 27 kerusi.
Join our Telegram Channel