PETALING JAYA: Jemaah Menteri sebulat suara kekal menyokong penuh kepimpinan
Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, di sebalik tindakan Umno menarik
balik sokongan kepada beliau.
Dalam kenyataan bersama, Jemaah Menteri berkata, keputusan itu dibuat dalam
mesyuarat Kabinet hari ini selepas mengambil kira pandangan semua pihak.
“Ahli Jemaah Menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan
dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pandangan
semua pihak,” menurut kenyataan itu.
Jemaah Menteri berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah menjayakan Pelan
Pemulihan Negara (PPN) demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,
“sekali gus membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.”
Khamis lalu, Umno memutuskan untuk menamatkan sokongannya kepada Muhyiddin dan
mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera atas
tujuh “kegagalan” termasuk pengurusan lemah kerajaan pimpinannya dalam
menangani pandemik Covid-19.
Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, yang diumumkan presiden parti
Ahmad Zahid Hamidi, setakat ini tidak memberi kesan kepada kedudukan ahli
Jemaah Menteri parti itu, termasuk Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai
Timbalan Perdana Menteri minggu lalu.
Polemik mengenai sokongan Umno kepada Muhyiddin mencetuskan perbalahan dalaman
parti itu dengan beberapa pemimpin lantang menolak keputusan MKT.
Join our Telegram Channel