Mana datang cerita Umno tarik balik sokongan untuk adakan PRU ketika pandemik, soal Zahid



PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan dakwaan bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno menarik balik sokongan berdasarkan tujuh sebab yang sudah dinyatakan sebelum ini iaitu kegagalan kerajaan menangani Covid-19 dengan baik.

“Jadi mana datang cerita Umno tarik balik sokongan supaya PRU15 diadakan semasa pandemik sedang berleluasa?,” soal Zahid di Facebook.


Beliau berkata, Umno sebelum ini menjelaskan untuk menamatkan dan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta kerana tujuh sebab yang dirasakan sangat mustahak.

Antara dinyatakan adalah kegagalan kerajaan menangani pandemik Covid-19, menyalahgunakan Ordinan Darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat.

Zahid berkata, selain itu kerajaan juga gagal memberi keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat, gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi dan memperkotak-katik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

Katanya, hanya selepas Muhyiddin berundur, barulah perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh terhad.


“Perdana menteri baharu akan fokus kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik dan menangani Covid-19 secara inklusif dan memastikan proses vaksinasi rakyat disegerakan.

“Setelah mencapai imunisasi kelompok barulah perdana menteri baharu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan PRU15,” katanya.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat membentuk sebuah kerajaan yang stabil kerana ia penting untuk memastikan Malaysia bangkit semula daripada kesan pandemik. – FMT

 

Join our Telegram Channel
Telegram