AUKUS: Malaysia dapatkan pandangan China



KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan bahawa kerajaan akan mendapatkan pandangan Kerajaan China berhubung penubuhan kerjasama melibatkan Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) iaitu (AUKUS).

Beliau berkata, pandangan China adalah penting kerana ia bagi memastikan AUKUS tidak mencetuskan sebarang kebimbangan dan menjejaskan kedudukan rantau Asia Tenggara dalam konteks pertahanan negara.


“Ini masih lagi sesuatu yang dalam proses dan saya bercadang dalam masa terdekat untuk membuat lawatan kerja singkat ke China.

“Satu perkara yang akan dibangkitkan selain daripada hospital medan, kita perlu mendapat pandangan kepimpinan khususnya pertahanan China, apa pandangan mereka terhadap AUKUS dan apa agaknya tindakan mereka.

“Insya-Allah saya akan cuba meneliti, bukan satu perkara mudah untuk mengimbangi dua kuasa besar.


“Kekuatan kita bukan lagi persendirian, kekuatan kita adalah 10 negara ASEAN ini bersatu untuk melihat bagaimana kedudukan kedaulatan dan juga keselamatan di rantau ini dapat dipertahan,” katanya dalam sesi penggulungan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) mengenai pendirian kerajaan terhadap AUKUS dan langkah-langkah mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai rantau berkecuali jika dijemput untuk menyertai kerjasama antara tiga negara tersebut. – Utusan

 

Join our Telegram Channel
Telegram